PTPTN Sedia E-Forum Bantu Selesai Masalah

Saluran e-forum Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) akan memberi ruang kepada peminjam untuk mengajukan sebarang masalah atau pertanyaan dengan tepat, cepat dan mudah.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kewujudan saluran itu dapat membantu orang ramai menyelesaikan segala kemusykilan mereka dengan bantuan kakitangan daripada jabatan itu yang akan mengemas kini saluran berkenaan pada kadar segera.

"Kalau sebelum ini jika ada sebarang pertanyaan mengenai PTPTN, orang ramai terpaksa menyuarakan melalui akhbar dan kadang-kala ada di antara pertanyaan itu tidak berjawab, mungkin kerana ada kakitangan yang terlepas pandang atau soalan itu sudah sering ditanya.

"Dengan adanya saluran ini, masalah seumpama itu tidak akan berlaku lagi kerana akan ada ruangan untuk soalan yang sering dipersoalkan untuk mengelakkan soalan berulang dan kakitangan kami juga akan menjawab semua soalan yang dikemukakan dengan seberapa pantas yang boleh," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Inovasi kementeriannya di Putrajaya hari ini.

Beliau sebelum itu turut melancarkan saluran e-forum PTPTN yang diwujudkan melalui laman web kementerian.

"Saya sebagai menteri juga akan sentiasa memantau saluran ini untuk memastikan ia menepati matlamat dan sasaran yang ditetapkan," katanya.

Sebelum itu, dalam ucapannya, beliau berkata PTPTN telah menyediakan moderator yang terlatih, berpengetahuan dan berpengalaman untuk membantu menyelesaikan semua persoalan yang dibangkitkan secara spontan.

Interaksi secara langsung ini, katanya, diharapkan mampu mengubah persepsi masyarakat bahawa kerajaan mampu untuk memberikan perkhidmatan yang responsif, cepat, telus dan secara langsung.

"Forum melalui laman web ini diharap dapat memberi peluang kepada umum untuk berbahas atau menjadi pentas mengemukakan pendapat mengenai isu-isu permohonan pinjaman, pembayaran balik pinjaman, Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dan isu berkaitan pembayaran balik PTPTN secara interaktif," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ketua Eksekutif PTPTN Yunos Abd Ghani berkata pihaknya memerlukan masa sekurang-kurangnya seminggu untuk menangani kes peminjam yang telah disenaraihitamkan kerana tidak membayar pinjaman.

"Biasanya kita perlukan masa selama seminggu untuk lepaskan mereka daripada disenaraihitamkan, tapi kalau mereka memerlukan masa yang lebih singkat kerana ada urusan penting di luar negara dan sebagainya, mereka boleh hubungi kami untuk memberikan cadangan atau berbincang mengenai bentuk bayaran yang mereka ingin lakukan.

"Apa yang penting, pinjaman itu perlu dibayar semula sama ada secara ansuran, potongan gaji dan sebagainya," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Putrajaya.

BERNAMA

1 comments:

Anonymous said...

saya sudah menghantar permohonan pembiayaan ptptn melalui online tetapi saya menggunakan alamat e-mail yang tidak sah. sakarang saya tak boleh login kerana terlupa password san password baru dihantar ke alamat e-mail itu. macam mana sakarang?

 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top