Pinda AUKU: Siswa berbeza pandangan

Aktivis Mahasiswa berbeza pendapat terhadap keputusan kerajaan untuk meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1974 bagi membolehkan pelajar yang mencapai umur 21 tahun menyertai parti politik.

Sebahagian mereka beranggapan pengumuman perdana menteri berhubung perkara itu menunjukkan keseriusan memahami kehendak mahasiswa; manakala sebahagian lagi melihat usaha itu tidak cukup kerana AUKU sebenarnya perlu dimansuh.

pkpim president ahmad fahmi mohd samsudinPresiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Ahmad Fahmi Mohd Samsudin (kiri) berkata, pengumuman ini dilihat bertetapan dengan agenda transformasi politik dan juga semangat kerajaan ketika memansuhkan "akta drakonian lain", seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"PKPIM merasakan, sudah sampai masanya pendidikan dan kesedaran politik perlu diberi penekanan secara menyeluruh kepada golongan mahasiswa di universiti supaya pemahaman mereka tidak hanya memahami politik dalam konteks kepartian semata-mata," katanya.

Berhubung keputusan kerajaan merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Seksyen 15(5) Auku tidak sah, PKPIM bagaimanapun berpendapat tindakan itu lebih baik tidak diambil.

"PKPIM memandang bahawa keputusan mahkamah ini tidak harus dilihat daripada aspek pihak mana yang menang dan pihak mana yang kalah, sebaliknya hendaklah meliputi persoalan moral dan intelektual di sebaliknya," katanya.

Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan akan meminda seskyen 15 AUKU kerana kerajaan percaya kepada kematangan dan kebijaksanan mahasiswa serta bagi menghormati hak Perlembagaan mahasiswa yang mencapai umur "baligh undang-undang".

Beliau bagaimanapun menegaskan pelajar universiti ditegah sama sekali membawa politik kepartian ke dalam kampus.

Dalam masa yang sama, Najib berkata, kerajaan akan merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes empat pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia yang mencabar seksyen itu kerana ia mempunyai implikasi terhadap prinsip undang-undang.

DEMA: Seksyen lain juga 'bermasalah'

Sementara itu, Gerakan Demokratik Pelajar dan Belia (DEMA) mahukan AUKU dimansuhkan serta merta dan bukan dipinda kerana bertentangan dengan perlembagaan dan "mengongkong fikiran" mahasiswa dan kakitangan akademik.

azlanMenurut kumpulan itu, bukan sahaja seksyen 15, terdapat juga peruntukan lain dalam AUKU yang digambarkan bermasalah di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta.

"Akta ini telah menghalalkan campur tangan kerajaan dalam pentadbiran IPTA iaitu Seksyen 4 yang memfokuskan kuasa mutlak kampus dan menghancurkan demorakrasi kampus serta autonomi mahasiswa," kata kumpulan itu.

Dalam kenyataan hari ini, DEMA berkata, seksyen yang memberikan "kuasa mutlak" kepada menteri pengajian tinggi untuk meluluskan pentadbir universiti membolehkan campurtangan luar terhadap universiti berlaku, termasuk oleh pihak polis.

"DEMA juga menyeru kerajaan supaya mengembalikan demokrasi kampus dan autonomi mahasiswa dengan pemansuhan AUKU.

"Sehingga hari ini, naib canselor yang dilantik oleh menteri pengajian tinggi adalah tindakan autokratik yang bermotifkan kepentingan politik," kata kumpulan itu lagi.

0 comments:

 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top