PRU-13: Solidariti Mahasiswa Boikot Pakatan Jika Tak Berubah

PETALING JAYA, 4 Dis — Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) memberi kata dua akan memboikot Pakatan Rakyat khususnya PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) jika kedua-duanya gagal mengubah tindak tanduknya yang sejak kebelakangan ini kelihatan bertentangan dengan prinsip politik baru yang pernah dijanjikan.

Gerakan pelajar institusi pengajian itu menegaskan pihaknya tidak akan menjana sokongan generasi muda — dianggarkan dalam sekitar sejuta orang — dalam pilihan raya umum ke-13 jika PAS dan PKR terus memperlihatkan kenyataan dan tindakan yang tidak lagi mendukung prinsip kebebasan bersuara dan berhimpun.

PR mencapai kemenangan luar biasa pada Mac 2008, sebahagiannya disebabkan oleh sokongan dan pengaruh pengundi generasi muda.

“Justeru, mahasiswa pada hari ini menggesa agar gesaan dan tuntutan ini dapat diambil tindakan perubahan yang agresif oleh ahli-ahli dan kepimpinan Dewan Pemuda PAS dan Angkatan Muda Keadilan (PKR).

“Mahasiswa juga meminta supaya kepimpinan pemuda kedua-dua parti ini dapat mengetepikan ego dan tidak bersikap sombong dalam mengambil pandangan rakyat khususnya mahasiswa yang memang cenderung untuk melihat kesejahteraan rakyat,” kata Pengerusi SMM Mohd Shazni Munir Mohd Ithnin pada sidang media di sini pagi ini.

Sehubungan itu SMM meletakkan empat tuntutan iaitu:
  • menarik balik laporan polis yang telah dibuat (minggu ini) kerana ia ternyata bertentangan dengan prinsip mereka sebelum ini
  • memohon maaf kepada rakyat Malaysia secara terbuka atas penipuan dan ketidakjujuran mereka dalam memperjuangkan hak-hak rakyat untuk berhimpun secara aman
  • membuat penentuan semula sikap mereka terhadap usaha penganjuran demonstrasi dan jika sememangnya benar mereka melihat demonstrasi mengganggu gugat kestabilan politik dan sebagainya, maka mereka perlu isytiharkan kepada rakyat terutama rakyat yang telah memilih mereka.
  • mengambil sisi politik yang matang dan tidak oportunis dalam mengambil tindakan terutama selepas memegang kuasa pemerintahan.
Laporan polis itu merujuk kepada tindakan Dewan Pemuda PAS Kelantan dan Angkatan Muda PKR Pulau Pinang ekoran tunjuk perasaan yang diadakan masing-masing di George Town dan Kota Baru beberapa hari lalu.
SMM mempunyai kira-kira 5,000 ahli dengan ia dianggotai Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia, Pro Mahasiswa Nasional, Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia, Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa dan Mahasiswi, Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia, Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.

Mengulas lanjut, Shazni Munir berkata laporan polis yang dibuat oleh Dewan Pemuda PAS Kelantan dan Angkatan Muda PKR Pulau Pinang telah mengundang pelbagai respons daripada banyak pihak.

“Namun yang dominannya ialah banyak pihak yang telah mula meragui kejujuran dalam berprinsip yang mereka uar-uarkan kepada rakyat selama ini.

“Ia merupakan satu tindakan yang dilihat sangat membelakangi prinsip-prinsip hak untuk berhimpun yang mereka pegang selama ini.

“Mereka yang sebelum ini gah mencanang kata bahawa rakyat perlu diberi hak untuk berhimpun secara aman tanpa gangguan pihak polis telah bertindak sebaliknya apabila tindakan rakyat terkena batang hidung mereka sendiri,” katanya.

Kata beliau, perkembangan itu menunjukkan PAS dan PKR juga dilihat telah membelakangkan suara rakyat yang memilih mereka sebelum ini.

Pulau Pinang dan Kelantan merupakan dua daripada empat negeri yang kini dipimpin kerajaan negeri PR.

“Pada mahasiswa, jika dilihat kepada kenyataan (dikeluarkan pemimpin Pemuda PAS dan PKR), amat serupa dengan mana-mana hujah pimpinan Umno-BN apabila PKR melakukan demonstrasi (gerakan BERSIH, dasar PPSMI dan anti-ISA).

“Justeru kita ingin menimbulkan persoalan adakah sememangnya selepas PAS dan PKR memerintah, mereka akan bertindak sama seperti Umno-BN memerintah?

“Jika begitu halnya, apa perbezaan PR dan BN dalam hal hak rakyat untuk berhimpun ini?” soal beliau yang menafikan pihaknya mendapat sokongan Umno-BN dalam mengecam PAS dan PKR.
Sehubungan itu hujah beliau, SMM juga pernah menyokong gerakan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di ibu negara Ogos lalu.

“Kami berkecuali… kami hanya menyokong pihak yang sanggup mempertahankan hak rakyat di bawah amalan prinsip demokrasi,” katanya.

Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen Muhammad Hilman Idham yang turut hadir sidang media itu berkata kerajaan-kerajaan negeri perlu menyediakan ruang khas terbuka untuk orang ramai berhimpun dan meluahkan pendirian masing-masing.

“Kami menggesa setiap kerajaan negeri mengadakan ruang seperti ini, bukannya yang tertutup tetapi terbuka di mana orang ramai boleh datang, bercakap dan mendengar isu-isu semasa yang dibangkitkan,” katanya.

The Malaysian Insider

0 comments:

 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top