Isu Bas - Penyelesaian Konkrit?

Isu bas merupakan suatu isu yang agak lama diperbincangkan. Berbeza daripada isu-isu lama yang lain yang dilihat sukar penyelesaiannya, isu bas ini pula telah mengalami beberapa tranformasi berikutan usaha-usaha pihak MPP sebelum ini serta kerjasama pihak pentadbiran memperbaiki mutu perkhidmatannya. Mungkin juga kerana terdapatnya yuran pengangkutan dalam senarai yuran yang perlu dibayar oleh siswa/i sebanyak RM70.00 setiap semester.

Isu ini bukannya isu eksklusif UMSKAL, ia turut menjadi masalah bagi kampus induk. Pada tahun 2005-2006, UMS induk pernah menyediakan pengangkutan bas dalam kampus bagi memenuhi keperluan pelajarnya yang berulang-alik daripada kolej kediaman ke kuliah-kuliah, terutama Kampung E. Namun, hanya selepas setahun, banyak bas UMS induk mengalami kerosakan disebabkan setiap hari melalui jalan berbukit dengan muatan yang lebih (penumpang terlalu ramai).

Keadaan sedikit berbeza di UMSKAL. Walaupun yuran dikenakan sama untuk pengangkutan, namun pengangkutan bas dalam kampus tidak disediakan berikutan ianya tidak relevan memandangkan kampus Labuan yang bersaiz kecil. Masa berjalan kaki dari kolej kediaman ke kuliah-kuliah hanya mengambil masa lebih kurang 10 minit. Justeru, bagi menggantikan perkhidmatan shuttle bus seperti di kampus induk, maka diperkenalkan sistem kupon. Sistem kupon ini berterusan sehingga sesi pengajian yang lepas (2008-2009).

Bagi pelajar yang memilih untuk menggunakan bas no. 4 biasa, pihak UMS telah membuat persetujuan dengan para pengusaha bas untuk mengenakan tambang serendah RM2.00, daripada kadar tambang biasa.

Apabila harga minyak melambung di pasaran dunia pada penghujung 2007, kadar tambang meningkat dan pihak UMS telah membuat persetujuan harga baru dengan para pengusaha bas. Natijahnya, jumlah agihan kupon berkurangan dengan banyak. Rungutan mula didengar daripada mahasiswa. Bukannya tidak peka dengan isu semasa, tetapi kerana merasakan jumlah kupon yang diagih tidak memadai dengan harga RM70.00 yang dibayar bersama yuran.

Sebenarnya isu jumlah kupon dengan yuran yang dibayar ini telah lama dibualkan dan ia mendapat perhatian pihak MPP sesi 2006/2007. MPP pada sesi tersebut telah mengadakan suatu kajian sentimen pelajar berkenaan isu kupon bas ini. Rata-rata responden menyatakan keluhan tidak berpuas hati dengan jumlah kupon. Justeru MPP telah membuat satu kertas kerja bagi memberikan beberapa cadangan alternatif kepada pihak HEP untuk dipertimbangkan.

Walaupun usaha ini kurang berjaya pada sesi tersebut, usaha ini diteruskan oleh barisan MPP pada sesi-sesi seterusnya. Hasilnya pihak HEP telah memansuhkan sistem kupon dan memperkenalkan sistem shuttle bus yang bergerak tiga kali sehari dari kampus ke bandar (selain perkhidmatan harian ke Kolej Mutiara) setiap Isnin hingga Jumaat. Walaupun penyelesaian ini bukanlah pilihan utama responden dalam kajian tersebut, namun pihak HEP telah mempertimbangkan salah satu daripada cadangan alternatif yang dikemukakan dalam kertas kerja yang dikemukakan.

Namun demikian, masih juga kedengaran sistem yang baru ini mempunyai beberapa kelemahan yang tidak menyenangkan hati mahasiswa. Sehingga kini mahasiswa masih ternanti-nanti penyelesaian konkrit berkaitan isu bas ini.

WACANA SISWA

0 comments:

 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top