PROTON, Hawtai jalin kerjasama

ANTARA model kereta yang dibangunkan oleh Hawtai Motor Group Ltd
yang menjalin kerjasama dengan PROTON Holdings Bhd.

  • Usahasama buka peluang teroka pasaran automotif China secara lebih meluas

PROTON Holdings Bhd bakal menjalinkan kerjasama dalam aspek pembangunan kenderaan dengan Hawtai Motor Group Ltd dari China untuk meneroka secara lebih meluas pasaran negara ekonomi kedua terbesar di dunia itu.
Pengerusi PROTON, Datuk Sri Mohd Nadzmi Mohd Salleh, berkata selain membolehkan pengeluar kereta nasional itu menembusi pasaran automotif China yang besar, kerjasama itu juga akan menyediakannya asas untuk meneroka pasaran kenderaan pemanduan di sebelah kiri.

"Antara pelaburan yang kita lihat berpotensi untuk dilaksanakan ialah dalam aspek membangunkan model baru secara bersama iaitu dari segi reka bentuk dan kos pembangunan. - Mohd Nadzmi Mohd Salleh, Pengerusi PROTON"

Beliau berkata, di bawah memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai PROTON dengan Hawtai semalam, kedua-dua syarikat akan melihat kepada kemungkinan menubuhkan syarikat usaha sama di China bagi melabur dalam bidang berpotensi.

"Antara pelaburan yang kita lihat berpotensi untuk dilaksanakan ialah dalam aspek membangunkan model baru secara bersama iaitu dari segi reka bentuk dan kos pembangunan.

“Kedua-dua syarikat akan berbincang secara lanjut selama tiga bulan selepas ini bagi memperhalusi potensi kerjasama ini,” katanya kepada media Malaysia selepas menghadiri sesi dialog meja bulat antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan pemimpin syarikat utama China di Nanning semalam.

MoU antara PROTON dan Hawtai itu dimeterai bersempena dialog itu.
Sementara itu, Pengarah Urusan Proton, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata dalam fasa awal penubuhan syarikat usaha sama, PROTON akan melesenkan model terkininya untuk dikeluarkan di kilang Hawtai di China untuk pasaran negara itu di bawah jenama Hawtai.

"Kita juga akan mengkaji kemungkinan untuk meletakkan nama PROTON juga pada kenderaan itu nanti," katanya.

Beliau berkata, antara model dijangka dipertimbangkan bagi pengeluaran lesen itu ialah kenderaan pelbagai guna Exora dan model P3-21A yang dijangka diumumkan PROTON awal tahun depan.

Kedua-dua syarikat jelasnya, akan bekerjasama untuk membangunkan model baru pada fasa seterusnya.

"Syarikat usaha sama itu juga akan diberi tanggungjawab melaksanakan kerja membangunkan komponen kenderaan bersama pengedar tempatan di China. Ini akan membolehkan PROTON membabitkan diri secara langsung dalam sektor pembuatan kenderaan berkos rendah.

"MoU dan kerjasama jangka panjang bersama Hawtai ini sejajar dengan sasaran kita untuk menjadikan China sebagai salah satu hub pengeluaran utama PROTON," katanya.

Daripada Sophia Ahmad
sophia@bharian.com.my
2011/10/22

0 comments:

 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top