Peraturan dan Syarat Pemasangan Streamyx

Salah satu punca mahasiswa/i disaman di Kolej Kediaman baru-baru ini adalah disebabkan oleh pendawaian streamyx. Denda bagi kesalahan pendawaian streamyx yang tidak mengikut peraturan adalah maksimum RM20.00 atau kurang berdasarkan budi bicara pihak kolej.

Dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, Kaedah-Kaedah Universiti Malaysia Sabah (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 1999, ada memaparkan beberapa kesalahan yang dilakukan yang menyebabkan akan didenda. Kadar bayaran denda yang dikenakan kepada penghuni-penghuni yang melanggar peraturan juga ada tercatat.

Menurut Puan Azleena Nordin, Penolong Pengurus Asrama, Kolej Kediaman Beta, penghuni bagi semua kolej kediaman di UMSKAL sememangnya diwajibkan mempunyai lesen bagi pemasangan talian streamyx. Pada borang setebal 6 muka surat itu, tercatat beberapa peraturan berkaitan syarat-syarat memasang talian internet (streamyx) di kolej kediaman, antaranya:

  1. Bayaran lesen Internet sebanyak RM20 setiap sesi pembelajaran
  2. Pemasangan router atas penama pemohon dikenakan bayaran RM10 seorang bagi tempoh 1 sesi.
  3. Pemasangan router hanya dibenarkan kepada ahli yang tinggal seunit dengan penama pemohon.
  4. Pihak Pengetua, kakitangan dan Felo adalah bertanggungjawab untuk memotong/merampas mana-mana router/kabel yang didapati/dilaporkan bersambung/tanpa sengaja oleh mana-mana pemohon dengan unit kediaman yang lain (selain daripada unit penama pemohon sendiri)

WACANA SISWA

Baca seterusnya...

Saman: Pelajar Kolej kediaman Beta boleh merayu

Oleh: Exco Kebajikan, Kesihatan dan Kemasyarakatan

Pelajar Kolej Kediaman Beta boleh merayu kepada pihak pengurusan Kolej Kediaman Beta bagi mengurangkan caj bayaran denda yang dikenakan. Menurut wakil Exco Kebajikan, Kesihatan dan Kemasyarakatan, Majlis Perwakilan Pelajar, pelajar tersebut boleh merayu kepada mana-mana pihak sama ada kakitangan mahupun Pn. Azleena Nordin sendiri selaku Penolong Pengurus Asrama Kolej Kediaman Beta.

Menurut Pn. Azleena, pihaknya akan menjalankan pemeriksaan secara mengejut (sportcheek) ke atas penghuni bagi Kolej Kediaman Beta bagi memastikan penghuni tersebut sentiasa mematuhi peraturan yang telah termaktub dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (bagi kolej kediaman).

Pada 14 hingga 18 Oktober lalu, pihak Kolej Kediaman Beta telah melakukan pemeriksaan ke dan telah mengeluarkan saman terhadap penghuni terbabit atas pelbagai kesalahan. Walaubagaimanapun, "saman" tersebut telah menimbulkan rasa diskriminasi terhadap pelajar terbabit apabila ada penghuni yang melakukan kesalahan sama tetapi tidak pula dikenakan denda.Terdapat juga segelintir penghuni yang hanya dikenakan amaran dan ada juga yang dikenakan bayaran denda yang terlalu tinggi.

Baca seterusnya...

UM Kini dalam Ranking 200 Terbaik Dunia


PETALING JAYA: Universiti Malaya (UM) meletakkan Malaysia semula dalam senarai 200 universiti terbaik oleh Times Higher Education (THE)-QS World University Rankings 2009 selepas melonjak sebanyak 50 tangga tahun lalu ke tangga 180 tahun ini.

Pengarah Urusan QS, Nunzio Quacquarelli berkata, ranking itu bukan sahaja mengenalpastikan ranking tertinggi universiti di dunia, bahkan universiti yang cemerlang dalam subjek-subjek utama tertentu, menjadi sasaran para majikan, menghasilkan penyelidikan terbaik, melabur dalam pengajaran serta mempunyai profil antarabangsa.

Universiti tempatan lain yang turut meningkat rankingnya ialah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), menduduki tangga 320 berbanding 356 tahun lalu.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) jatuh antara satu hingga 41 tangga kepada kedudukan ke-291, 314 dan 345 masing-masing.

Ketua QS Quacquarelli Symonds Ltd Intelligence Unit Ben Sowter berkata, kebangkitan semula UM dalam ranking 200 terbaik dunia adalah amat mengagumkan.

"Usaha kolektif universiti untuk menarik sejumlah besar para pelajar antarabangsa menunjukkan satu harapan yang progresif," katanya dalam satu temuramah emel.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberitahu The Star bahawa kementerian menyedari universiti-universiti tersebut lemah dalam citation per faculty dan peer review.

Universiti Harvard sekali lagi mengungguli ranking THE-QS diikuti Cambridge, Yale, University College London, Imperial College, Universiti Oxford, Universiti Chicago, Universiti Princeton, Massachusetts Institute of Technology dan California Institute of Technology.

Institusi pengajian tinggi Asia yang mempunyai ranking tertinggi dalam senarai THE-QS adalah Universiti Tokyo (22), Universiti Hong Kong (24), Universiti Kyoto (25) dan National University of Singapore (30).

Naib Canselor UM Prof Datuk Dr Ghauth Jasmon berkata kejayaan tersebut meningkatkan semangat dan motivasi semua staf dan pelajar agar lebih berusaha mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.

"Pendefinisian semula Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk para akademik, inisiatif-inisiatif baru dilaksanakan dalam rangkaian antarabangsa, pengambilan staf dan para pelajar telah menghasilkan impak yang cepat dan positif," katanya.

Naib Canselor UTM Prof Datuk Dr Zaini Ujang berkata peningkatan dalam ranking universiti adalah ekoran strategi dalam perangkaian, kualiti, penyelidikan strategik, sinergi dan budaya organisasi.

Mengenai kejatuhan ranking UKM dari tangga 250 ke 291, Timbalan Canselor (Akademik dan Hal Ehwal Antarabangsa) Prof Dr Hassan Basri berkata pihak universiti tidak terkejut dengan penurunan ranking itu.

Ini kerana katanya, THE-QS telah menunjukkan bahawa penyelarasan secara metodologi dan tinjauan dinamik akan mengurangkan markah secara signifikan untuk academic peer review and kriteria tinjauan majikan untuk tempoh tiga tahun bermula tahun 2008.

Naib Canselor UPM Prof Datuk Dr Nik Mustapha R. Abdullah berkata dia hairan mengenai penurunan ranking universiti walaupun pencapaian universiti tahun lalu adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Artikel ini dipetik daripada akhbar The Star, 8 Oktober 2009.

Wacana Siswa: Bilakah UMS akan berada dalam senarai? Bersediakan semua warga UMS, terutama mahasiswa, ke arah itu?

Baca seterusnya...

Imbasan Isu Air

Penyelesaian pihak kerajaan

10 Sept — Akhbar Berita Harian hari ini menyiarkan bahawa masalah air di Labuan akan pulih setelah projek paip air dasar laut bernilai RM365 juta dari Beaufort, Sabah siap sepenuhnya menjelang akhir 2010.

Kajian masalah air

7 Sept — Ucaptama Naib Censelor semasa majlis berbuka puasa bersama pelajar UMSKAL, mengatakan beliau akan menghantar pelajar UMS Kota Kinabalu daripada bidang kejuruteraan untuk mengkaji masalah air di UMS KAL dengan lebih mendalam.

Air suling?

Terbaru keratan akhbar di papan kenyataan staf: UMSKAL SULING AIR LAUT ATASI MASALAH BEKALAN AIR — Mengambil contoh dari Brunei.

Baca seterusnya...

Sistem E-Vote Satu Penyelewengan..?

Kewujudan sistem Pilihan Raya Kampus (PRK) di semua kampus-kampus universiti di Malaysia sememangnya menjadi suatu perkara besar yang sering diperbincangkan. Perkara seperti siapakah calon yang bakal bertanding Majlis Perwakilan Pelajar (MPP)? Siapa yang bakal memenangi pilihanraya? Siapakah calon Pro-Mahasiswa dan Pro-Aspirasi? Sememangnya menjadi penantian yang amat mendebarkan kepada siswa-siswi yang celik akan kepentingannya.

Siswa-siswi sekalian,

Malaysia merupakan sebuah negara maju yang mengamalkan sistem Raja Berpelembagaan di mana ianya menjalankan sistem undi atau sistem demokrasi sebagai kaedah bagi menentukan wakil rakyat bagi mewakili sesuatu tempat atau kawasan. Calon yang meraih undi paling banyak akan diumumkan sebagai wakil Parlimen atau wakil Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mewakili parti atau pertubuhan tertentu dan seterusnya mewakili masyarakat sesuatu tempat untuk membela nasib dan kebajikan rakyat.

Alasan-alasan seperti sistem E-Vote lebih selamat, cepat dan mengikut peredaran semasa adalah merupakan alasan songsang daripada pihak berkepentingan yang buta sistem politik kampus. Mereka takut dan gentar berhadapan mahasiswa Pro-M. Hasilnya calon yang berjaya menjadi MPP, menjadi bacul dan hanya tunduk serta patuh sahaja menurut telunjuk mereka.

Siswa-siswi peneraju negara,

Perlu difahami secara konkrit arus modenisasi yang berlaku sekarang sebenarnya merupakan satu kenikmatan yang sewajarnya digunakan dengan sebaiknya. Namun, penggunaan sistem ini sebenarnya memiliki unsur-unsur ketidakpastian yang boleh dan sering saja dipertikaikan keselamatan dan ketelusan pengaplikasiannya. Hal ini adalah berdasarkan hujah-hujah seperti berikut:

  • Ketidakadilan sistem pengiraan sesuatu sistem maklumat komputer yang dibuat pelbagai sistem perisian data yang boleh sahaja dimanipulasikan pihak tertentu bagi menjayakan rancangan mereka.
  • Pelaksanaan sistem pilihan raya di negara-negara maju seperti Jepun, Amerika Syarikat, England hatta Indonesia sekalipun menggunakan sistem undi seperti biasa (pangkah). Justeru, kenapa di kampus tidak berlaku sedemikian?
  • Pengaplikasian sistem tersebut masih terdapat unsur-unsur penyelewengan dan penipuan. Penggunaan sistem E-Vote tersebut tidak mengambarkan secara telus sistem demokrasi dan pemilihan kepimpinan negara ini. Ironinya, ketelusan sistem pengiraan undi adalah menjadi faktor utama bagi menjamin ketelusan sistem demokrasi negara.
Justeru, minda mahasiswa sewajarnya berubah dan tidak hanya mengangguk dan menggeleng sesuatu dengan mudah tanpa mengkaji dan mengambil kira faktor jadian dan tujuan kepentingannya. Adalah menjadi sia-sia buat diri kita yang sudah dewasa ini diperanak-anakkan serta diperbodohkan dengan selesa oleh mereka ini. Sampai bila?

Ayuh...! mahasiswa adalah penyambung. Marilah sama-sama kita merobah sistem ini. Kembalikan sistem Pilihan Raya Kampus secara adil.

sharulfasta

Baca seterusnya...

Mentaliti Mahasiswa Memimpin Perubahan

Oleh: Mohd Abdillah Bin Matlin


Setiap tahun akan berlaku Pilihanraya Kampus di seluruh negara terutama sekali yang melibatkan Institusi Pengajian Tinggi dan Kolej Universiti. Dalam pilihanraya kampus, lazimnya setiap pelajar akan membuang undi iaitu satu undi untuk kawasan umum dan satu lagi untuk kawasan fakulti/ sekolah masing-masing. Ada pelajar yang melihat pilihanraya kampus sebagai acara rutin memilih perwakilan pelajar dan tidak memiliki hubungan langsung dengan kehidupan pelajar itu sendiri sekaligus tidak mempedulikan apa yang berlaku. Terdapat juga pelajar yang mengambil sikap menjauhkan diri daripada pilihanraya kampus dan melihatnya sebagai medan perebutan golongan oportunis menonjol diri dan membina nama.

Budaya politik peringkat pelajar universiti perlu memiliki kecenderungan murni atas asas budaya ilmu yang dipandu oleh nilai agama dan budaya sopan. Kerjasama dan persefahaman antara pelajar dan pentadbir universiti penting untuk membentuk warna pilihanraya kampus. Suasana dalam institusi pendidikan bergantung kepada komitmen terutama peringkat pelajar dan pentadbir untuk memastikan kemurnian dan kelancaran acara tahunan ini memberi kesan budaya yang baik dan bukan sebaliknya.

Disamping kewujudan program rutin pelajar dan universit seperti Pesta Konvokesyen, pemimpin pelajar yang terpilih juga perlu menjadi pemimpin yang mampu merubah persepsi rakan sebayanya mengenai potensi generasi muda dari seorang pelajar biasa yang memiliki idealisme tentang cita-cita hidup merentasi pembinaan moral dan akhlak seseorang individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia. Kita juga melihat pemimpin pelajar yang terpilih perlu pemimpim pembina budaya (culture builder) dalam pembinaan sebuah tamadun unggul.

Kita juga optimis agar pemimpin pelajar yang akan terpilih nanti mampu menjadi model kecemerlangan dan memiliki keyakinan diri dalam memimpin. Umat juga mengidamkan kelahiran pemimpin pelajar yang mampu merungkai dan membawa keluar kerumitan dan kegelisahan masyarakat yang membimbangi masalah sosial dan jenayah yang sudah menular dikalangan pelajar. Kita semua punyai amanah ilmu dan pengalaman menjadi mahasiswa yang perlu disalurkan kedalam gelojak masyarakat yang dahagakan pimpinan dan dorongan graduan universiti yang akan menjadi hati nurani umat. Mahasiswa perlu menterjemahkan idea dan cita-cita melalui pendekatan yang lebih operatif dan praktis diperingkat masyarakat dan bukannya berlegar disekitar dewan kuliah.

Landskap gerakan pelajar telah berubah seiring dengan usia kemerdekaan negara dan seusia sesebuah institusi pendidikan itu. Keperluan, cabaran dan masalah masyarakat berubah seiring dengan usia perjalanan sebuah negara seperti Malaysia. Tetapi prinsip kebenaran dan keadilan akan terus subur zaman berzaman seiring dengan semangat kemanusiaan sejagat yang kita dukung. Suasana yang ada kini perlukan pelajar yang lebih matang dan terhadapan dengan ruang dan batasan yang ada. Perubahan politik konfrantasi politik dialog (mina al'muwajahaa ila lihiwar) untuk menyampaikan pandangan pelajar perlu diraikan.

Pandangan pelajar yang mungkin betul dan mungkin silap ini akan mematangkan mahasiswa menyonsong masa hadapan negara. Segala ruang dan peluang yang ada untuk menyampaikan pandangan digunakan sebaiknya oleh semua pihak demi kebaikan bersama. Jangan perjudikan masa dan peluang mahasiswa untuk tujuan politik sementara. Kita bina atas semangat masa depan Malaysia yang lebih baik daripada apa yang kita ada kini.

Dalam satu kata-kata Almarhum Bapak Mohammad natsir, bahawa "pemimpin tidak lahir dibilik kuliah tatapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas di kancah, muncul di tengah-tengah pergumulan masalah, menonjol dari kalangan rakan-rakan senagkatannya, lalu diterima dan didukung oleh umat".


"PRO-M: AGEN PENERAJU PERUBAHAN"


MOHD ABDILLAH BIN MATLIN
Naib Presiden (Kampus Antarabangsa Labuan)
Majlis Perwakilan Pelajar
Universiti Malaysia Sabah
Sesi 2008/ 2009
http://naufalmuawiyyah.blogspot.com

Baca seterusnya...
 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top