Sistem E-Vote Satu Penyelewengan..?

Kewujudan sistem Pilihan Raya Kampus (PRK) di semua kampus-kampus universiti di Malaysia sememangnya menjadi suatu perkara besar yang sering diperbincangkan. Perkara seperti siapakah calon yang bakal bertanding Majlis Perwakilan Pelajar (MPP)? Siapa yang bakal memenangi pilihanraya? Siapakah calon Pro-Mahasiswa dan Pro-Aspirasi? Sememangnya menjadi penantian yang amat mendebarkan kepada siswa-siswi yang celik akan kepentingannya.

Siswa-siswi sekalian,

Malaysia merupakan sebuah negara maju yang mengamalkan sistem Raja Berpelembagaan di mana ianya menjalankan sistem undi atau sistem demokrasi sebagai kaedah bagi menentukan wakil rakyat bagi mewakili sesuatu tempat atau kawasan. Calon yang meraih undi paling banyak akan diumumkan sebagai wakil Parlimen atau wakil Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mewakili parti atau pertubuhan tertentu dan seterusnya mewakili masyarakat sesuatu tempat untuk membela nasib dan kebajikan rakyat.

Alasan-alasan seperti sistem E-Vote lebih selamat, cepat dan mengikut peredaran semasa adalah merupakan alasan songsang daripada pihak berkepentingan yang buta sistem politik kampus. Mereka takut dan gentar berhadapan mahasiswa Pro-M. Hasilnya calon yang berjaya menjadi MPP, menjadi bacul dan hanya tunduk serta patuh sahaja menurut telunjuk mereka.

Siswa-siswi peneraju negara,

Perlu difahami secara konkrit arus modenisasi yang berlaku sekarang sebenarnya merupakan satu kenikmatan yang sewajarnya digunakan dengan sebaiknya. Namun, penggunaan sistem ini sebenarnya memiliki unsur-unsur ketidakpastian yang boleh dan sering saja dipertikaikan keselamatan dan ketelusan pengaplikasiannya. Hal ini adalah berdasarkan hujah-hujah seperti berikut:

  • Ketidakadilan sistem pengiraan sesuatu sistem maklumat komputer yang dibuat pelbagai sistem perisian data yang boleh sahaja dimanipulasikan pihak tertentu bagi menjayakan rancangan mereka.
  • Pelaksanaan sistem pilihan raya di negara-negara maju seperti Jepun, Amerika Syarikat, England hatta Indonesia sekalipun menggunakan sistem undi seperti biasa (pangkah). Justeru, kenapa di kampus tidak berlaku sedemikian?
  • Pengaplikasian sistem tersebut masih terdapat unsur-unsur penyelewengan dan penipuan. Penggunaan sistem E-Vote tersebut tidak mengambarkan secara telus sistem demokrasi dan pemilihan kepimpinan negara ini. Ironinya, ketelusan sistem pengiraan undi adalah menjadi faktor utama bagi menjamin ketelusan sistem demokrasi negara.
Justeru, minda mahasiswa sewajarnya berubah dan tidak hanya mengangguk dan menggeleng sesuatu dengan mudah tanpa mengkaji dan mengambil kira faktor jadian dan tujuan kepentingannya. Adalah menjadi sia-sia buat diri kita yang sudah dewasa ini diperanak-anakkan serta diperbodohkan dengan selesa oleh mereka ini. Sampai bila?

Ayuh...! mahasiswa adalah penyambung. Marilah sama-sama kita merobah sistem ini. Kembalikan sistem Pilihan Raya Kampus secara adil.

sharulfasta

0 comments:

 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top