Pengiraan Merit ke IPTA Guna Gred Baru Tahun Depan

30 Oktober: Mulai tahun depan, pengiraan merit untuk kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 dan setaraf akan menggunakan penggredan baru.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Prof Datuk Dr Radin Umar Radin Sohadi berkata perubahan itu selaras dengan sistem penggredan baru Kementerian Pelajaran yang memperkenalkan peringkat kelulusan A+ untuk pelajar SPM 2009 berbanding gred 1A sebelum ini .


"Sistem ini diperkenalkan untuk memilih yang terbaik di kalangan terbaik bagi memasuki IPTA supaya ada perbezaan contohnya antara A+ dengan A dengan A-," katanya pada sidang akhbar di sini Jumaat.

Melalui sistem baru itu, pelajar yang mendapat A akan dikategorikan kepada A+, A dan A- dengan merit masing-masing 18, 16 dan 14, katanya.

Beliau berkata gred 3B ditukar kepada B+ dengan merit 12, 4B kepada B(10), 5C kepada C+ (lapan), 6C kepada C (enam), 7D kepada D(empat), 8E kepada E (dua) dan 9G kepada G dengan merit sifar.

Bagaimanapun Dr. Radin Umar berkata kaedah baru itu akan mengambil kira syarat khas kemasukan program pengajian seperti gred 6C (kepujian) sebelum ini, tarafnya tidak akan diturunkan ke gred lebih rendah.

"Pemprosesan, pengiraan markah merit, syarat am universiti, syarat khas program pengajian serta pemilihan calon akan dilaksanakan secara dua kaedah dalam proses transisi iaitu kaedah sedia ada bagi lepasan SPM 2008 dan sebelumnya serta kaedah terkini bagi calon lepasan SPM 2009," katanya.

Beliau berkata ini bagi memastikan peluang pelajar lepasan SPM terdahulu untuk melanjutkan pengajian ke IPTA tidak terjejas.

Katanya pelaksanaan kaedah pengiraan markah merit terkini itu akan disebarkan melalui Karnival Pengajian Tinggi Negara 2010 mulai Januari hingga Mac tahun depan di 10 zon terpilih seluruh negara.

"Kementerian juga akan mengadakan taklimat kepada guru bimbingan dan kaunseling serta mengemas kini maklumat itu melalui cetakan dan agihan brosur ke Jabatan Pelajaran Negeri dan sekolah serta di laman web kementerian (Pengajian Tinggi) dan Kementerian Pelajaran," kata Dr Radin Umar.

BERNAMA

Baca seterusnya...

Suatu Petang di "Rumah Kebijaksanaan"

Minggu ulangkaji hanya tinggal lebih kurang beberapa hari sahaja lagi sebelum tibanya minggu peperiksaan. Ia juga dikenali sebagai ’study week’ (mohon izin…macam dalam parlimen pula). Sepanjang minggu ini, mahasiswa kelihatan semakin sibuk dengan hidupnya sebagai mahasiswa. Seolah-olah baru nampak watak mahasiswa sebagai seorang mahasiswa dalam konteks menuntut ilmu. Suasana belajar wujud di mana-mana sahaja sekitar kampus. Terutama sekali di perpustakaan. Semalam, sewaktu saya mentelaah di perpustakaan, para pelajar sibuk mencari dan menyalin soalan-soalan peperiksaan tahun-tahun lepas. Di sudut lain, saya melihat pelajar-pelajar cina yang hampir sehari suntuk berada di perpustakaan. Setiap kali selepas saya menunaikan solat, seorang pelajar cina di suatu penjuru tetap tekun dengan komputer ribanya beserta dengan buku-buku rujukannya. Tidak jemu mengulangkaji pelajaran. Begitu juga dengan rakan-rakan mahasiswa yang lain. Tidak ramai.


Fungsi Perpustakaan Zaman Silam

Dalam kesibukan para pelajar menggunakan perpustakaan sebagai tempat belajar, tempat menyalin soalan-soalan dari bank soalan, tempat membuat sebarang tugasan yang diberikan oleh para pensyarah, tempat beristirehat dengan membaca majalah kesukaan atau membaca surat khabar, fikiran saya menerawang ke zaman lampau. Zaman sewaktu perpustakaan menjadi kebanggaan sesebuah kerajaan besar. Zaman yang amat memuliakan ilmu dan cabang-cabangnya. Zaman yang menjadikan perpustakaan sebagai tempat menjana pemikiran dan idea baru untuk kepentingan ummah. Ketika itu, perpustakaan melambangkan suatu kemahsyuran. Tanda ketamadunan sesebuah kerajaan. Saya kagum bila mendengar atau membaca kisah-kisah berkaitan dengan perpustakaan dan fungsinya di zaman lampau. Rasa seolah-olah ingin kembali ke zaman tersebut dan melihat bagaimana sesuatu ilmu itu dikembangkan oleh para intelektual zaman tersebut. Saya teringin melihat Ibnu Rusyd yang amat rajin mentelaah karya-karya agung Yunani, Saya teringin juga melihat al-Khawarizmi mentelaah sesuatu ilmu sehingga berjaya mewujudkan ilmu matematik(Algorithm). Saya teringin merasai penat lelah Imam Bukhari dalam usaha mengumpulkan hadis Nabi SAW, saya juga teringin melihat dan menghayati kehidupan para intelektual Islam yang lain dalam usaha mereka memartabatkan dan menzahirkan Islam sebagai satu cara hidup yang praktikal kepada umat manusia secara keseluruhannya.

Akibat dari keinginan saya yang mendalam itulah, saya mewujudkan sendiri suasana tersebut dalam diri saya dengan cara bertandang ke perpustakaan hampir setiap hari. Saya berminat melihat beribu-ribu buku yang terdapat di dalamnya. Kadang-kadang saya belek satu persatu buku yang ada. Pelbagai kategori buku ada di perpustakaan UMS-KAL ini. Kalau ikutkan hati, mahu saja saya menghabiskan semua buku yang terdapat di dalamnya. Tapi apakan daya, saya tidak mampu membaca semua buku yang ada. Masa saya sebagai seorang pelajar bukan semata-mata duduk di perpustakaan sahaja. Banyak tanggungjawab lain lagi yang perlu diselesaikan. Pada saya, perpustakaan merupakan rumah ketiga saya selain di bilik dan masjid. Perpustakaan adalah tempat saya mempelajari ilmu baru selain di dewan kuliah. Saya semakin jatuh cinta dengan perpustakaan.

Minggu ini, perpustakaan tetap menjadi destinasi utama saya. Kalau pelajar lain, mereka mungkin datang ke perpustakaan untuk ‘memunggah’ bank soalan peperiksaan yang lepas. Kalau pelajar lain, mereka mungkin menggunakan perpustakaan sebagai tempat belajar untuk peperiksaan, saya pula menggunakan perpustakaan untuk membaca buku selain daripada untuk peperiksaan. Jika mahu ulangkaji, saya boleh ulangkaji di bilik sahaja. Tapi untuk mendapatkan ilmu selain daripada di dewan kuliah, perpustakaan adalah destinasi yang tepat (selain daripada melayari internet). Sekarang, saya dalam proses membedah ilmu ekonomi Islam berkaitan dengan wakaf kerana saya perlukan maklumat untuk mengukuhkan kertas kerja saya yang bertajuk ‘Potensi Wakaf Tunai di UMS’. Jadi memerlukan maklumat berkaitan dengan wakaf secara umum dan khusus. Selain itu, bidang falsafah juga mencuri tumpuan saya untuk dibedah. Saya ingin tahu lebih mendalam tentang apa titik perbezaan yang berlaku antara Ibnu Rusyd dan Imam al-Ghazali dalam mempertahankan hujah masing-masing berkaitan dengan ilmu falsafah kerana saya amat baru dalam bidang falsafah ini. Ini antara tujuan utama saya mengapa saya hadir ke perpustakaan, selain belajar ilmu pengkhususan saya dalam bidang kewangan Islam.

Kesimpulan

Saya melihat ada sebahagian para pelajar yang tidak suka ke perpustakaan dengan pelbagai alasan yang tersendiri. Saya hormati pendapat dan pandangan mereka. Tetapi bagi saya, perpustakaan yang ada seharusnya dimaksimakan penggunaannya sebagai tempat untuk menuntut ilmu. Proses menuntut ilmu bukan senang, tapi ia amat menyeronokkan bagi saya. Kelazatan membelek buku dan membaca satu persatu frasa ayat yang ada mampu memuaskan hati saya. Tapi saya tidak nafikan wujudnya kekangan dalam memahami bahasa selain daripada bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, ia tidak pernah melunturkan keinginan yang mendalam saya untuk membaca intipati yang terdapat di dalam sesebuah buku tersebut. Kamus menjadi teman saya dalam menterjemahkan isi buku.

Apapun, semoga perpustakaan dapat menjadi tempat di mana idea-idea atau gagasan besar untuk kebaikan manusia sejagat dapat tercipta atau terhasil di bumi UMS-KAL ini. Ini memerlukan komitmen semua pihak.

Oh, sudah petang, saya terpaksa beransur dahulu.

Catatan 29 Oktober 2008/29 Syawwal 1429

P/S: Kadang-kadang perpustakaan jadi tempat tidur sebab pendingin hawa sejuk sangat…

“BERUBAH UNTUK MENGUBAH”

ALIFF BASRI
BA ISLAMIC FINANCE (HONS), UMS
W. P. Labuan
http://hadifulwan.wordpress.com

Penulis adalah mantan Naib Presiden (KAL) Majlis Perwakilan Pelajar UMS 0607.

Baca seterusnya...

Pelajar Berhutang dan Isu PTPTN

Terdapat beberapa punca yang menjadi sebab mengapa terdapatnya mahasiswa yang berhutang. Faktor terbesar datangnya daripada permasalahan berkaitan pinjaman PTPTN. Terdapat mahasiswa yang ditahan pinjamannya kerana PNGS pada semester berkenaan berada di bawah 2.00. Ada pula yang langsung tidak pernah mendapat pinjaman. Lebih menyedihkan, golongan yang turut terbeban dengan masalah hutang ini adalah mahasiswa tahun 1 yang merupakan kelompok ke-2 dan ke-3 penerima skim pinjaman PTPTN ekoran kelewatan pihak PTPTN turun ke UMS-KAL menyelesaikan urusan peminjaman. Ianya dinyatakan sendiri oleh seorang pelajar SSIL tahun 1 yang ditemui Wacana Siswa, berkaitan kerisauan mereka jika gagal menyelesaikan yuran pengajian. Wacana Siswa telah melaporkan hal ini pada keluaran 23 Oktober 2009.

Pihak MPP UMSKAL sesi 2006/07 pernah membawa isu penahanan pinjaman PTPTN ini ke Perhimpunan MPP Kebangsaan pada tahun 2006 yang lalu, di mana mereka memperjuangkan pelajar yang mendapat PNGS di bawah 2.00 pada satu-satu semester tidak ditahan pinjamannya secara sepenuhnya, memadai ditahan separuh atau PTPTN hanya membayar yuran pengajiannya sahaja pada semester berkenaan. Isu ini mendapat perhatian Dr. Adham Baba, Setiausaha Parlimen Kementerian Pengajian Tinggi pada waktu itu. Namun sehingga kini, mungkin disebabkan kurangnya follow-up oleh barisan kepimpinan sesi-sesi selepas itu maka isu ini tenggelam. Mungkin telah tiba masanya untuk isu ini diperjuangkan sekali lagi.

WACANA SISWA

Baca seterusnya...

Berhutang? Slip Anda Ditahan!

Hanya tinggal seminggu lagi sebelum peperiksaan akhir semester bermula, pastinya beberapa persoalan lumrah akan hadir di kotak fikiran mahasiswa. Soal mendapatkan slip peperiksaan terutamanya, tidak dapat diperoleh jika seseorang pelajar itu masih berhutang dengan dengan pihak universiti, sama ada hutang yuran pengajian, yuran kolej kediaman, denda-denda tertentu yang masih belum dilangsaikan, dan seumpamanya. Tidak boleh dinafikan, kebimbangan ini sedikit sebanyak akan menjejaskan tumpuan mahasiswa berkenaan dalam mengulangkaji pelajaran dan membuat persediaan sebelum peperiksaan.

Isu ini, sebagaimana beberapa permasalahan mahasiswa yang lain yang pernah diperbincangkan sebelum ini, bukanlah isu baru. Ia menjadi suatu isu yang akan timbul saban semester. Bahagian Kewangan telah pun menaikkan senarai pelajar yang berhutang beserta jumlahnya sekali, di tingkat 4 Bangunan Menara. Daripada senarai tersebut, sebahagian pelajar hanya menanggung hutang pengajian semester berkenaan, manakala sebahagian yang lain menanggung hutang mencecah RM6,000.00 – satu jumlah yang cukup besar.

Wacana Siswa merasakan tidak ada isu pelajar yang mendapat pinjaman melengah-lengahkan bayaran yuran, kerana kebiasaannya yuran pengajian akan dipotong terus daripada jumlah yang disalurkan kepada peminjam. Jika ada pun, ia hanyalah kes terpencil.

Wacana Siswa juga sempat menemubual Sdr. Abdilah Matlin, Naib Presiden MPP UMSKAL. Walaupun beliau sibuk dengan hal-hal kemahasiswaan, namun beliau juga peka terhadap masalah ini dan beliau sendiri telah mangambil inisiatif menulis surat permohonan pelepasan pengambilan slip peperiksaan bagi pelajar berhutang. Surat tersebut bakal dihantar kepada pihak yang berkenaan sedikit masa lagi. Beliau turut memberitahu kebiasaannya pada semester-semester yang lalu, pelajar yang berhutang dibenarkan mengambil peperiksaan setelah membayar RM 100.00 daripada keseluruhan hutang.

WACANA SISWA

Baca seterusnya...

Ayuh Peka Hak Kita Mahasiswa

Rungutan penghuni Kolej Beta yang menerima saman tempoh hari telah mendapat perhatian saya, lebih-lebih lagi setelah rungutan-rungutan tersebut tersiar di laman Facebook tidak lama kemudian. Justeru, wakil sekretariat MPP telah ditugaskan mendapatkan penjelasan pihak Kolej Kediaman Beta mengenai kekeliruan mahasiswa berkenaan, dan laporannya telah disiarkan dalam Wacana Siswa pada keluaran 23 Oktober 2009.

Berikutan ini juga, wujudnya perbincangan di kalangan mahasiswa bahawa beberapa peraturan kolej yang sedia ada seperti syarat pemasangan talian internet adalah agak ketat dan kadangkala sebahagian daripadanya kelihatan agak kurang munasabah. Justeru pihak MPP bersedia mengkaji beberapa peraturan ini yang bakal diterjemahkan melalui satu kertas kerja cadangan kepada pihak universiti.

Hal ini mungkin akan melibatkan beberapa peruntukan dalam AUKU namun cadangan ini hanya merujuk kepada peraturan yang tertakluk kepada kuasa autonomi pihak universiti, yang mana peruntukan ini boleh ditambah, dimansuh atau dipinda berdasarkan budi bicara Naib Canselor.
Jika anda semua masih ingat, mantan Naib Presiden KAL yang lalu, Sdr. Nashad Mainor pernah menjalankan kempen pemansuhan bayaran RM3 kolej kediaman waktu cuti bagi pelajar yang tidak pulang ke kampung. Soal bayaran RM3 ini juga sebenarnya satu peruntukan dalam AUKU, namun akhirnya bayaran RM3 ini dimansuhkan juga (dengan budi bicara Naib Canselor) setelah petisyen bersama satu kertas kerja dihantar.

Indikasinya daripada apa yang berlaku adalah, mahasiswa perlu mengetahui dan memahami hak-hak mereka sebagai seorang mahasiswa di universiti ini. Soal memandang enteng kepada hak-hak kemahasiswaan tidak seharusnya berlaku.

Mengetahui dan memahami hak mahasiswa bermaksud kita akan peka sama ada hak kita tersekat atau tidak. Jika apa yang kita ada sekarang belum memenuhi hak kita yang sebenar, maka kita perlu perjuangkan. Begitu pun, ia juga tidak bermakna kita boleh menuntut di luar yang menjadi hak kita.

Mahasiswa adalah tonggak harapan negara. Sejarah membuktikannya, di mana jua negara. Justeru mahasiswa perlu menjadi agen perubahan. Namun, jika hak kita sendiri pun tidak kita ketahui, masakan kita mampu melakar sesuatu yang lebih besar bermakna? Anda tahu jawapannya.

ABDILLAH MAT LIN
Naib Presiden MPP, UMSKAL 0809

Baca seterusnya...

"Study Week" Bermula...

Dalam menghadapi peperiksaan akhir yang bakal menjelang ini sudah tentu mahasiswa semakin sibuk. Ada yang sibuk menyiapkan tugasan (assignment) untuk dihantar dan ada juga yang sibuk dengan mengulangkaji pelajaran. Persediaan awal sememangnya perlu dibuat bagi memastikan kejayaan bakal tercapai.

Tetapi masih ramai juga di kalangan mahasiswa yang masih leka dan tidak mengambil berat tentang kedatangan peperiksaan akhir semester ini. Ingatlah mahasiswa sekalian demi masa sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Oleh itu marilah bermula dari sekarang agar kita dapat kejayaan yang cemerlang pada masa akan datang.

Peperiksaan ini merupakan medan dalam kita selaku mahasiswa untuk membuktikan keupayaan dan kebolehan kita untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang dan terbilang. Namun harus diingat persediaan yang rapi perlu agar tekanan ketika menghadapi peperiksaan dapat diatasi. Dinasihatkan juga supaya semua dapat luruskan dan ikhlaskan niat belajar bukan hanya untuk lulus dalam peperiksaan semata-mata. Perlu memandang betapa tinggi nilainya ilmu itu dan tidak layak untuk dilimpahkan di atas kertas peperiksaan sahaja, malah ilmu harus diaplikasikan dalam kehidupan dan disampaikan kepada masyarakat. Oleh itu selamat maju jaya dan berusahalah bersungguh-sungguh agar dapat mengecapi kejayaan pada masa hadapan.

Baca seterusnya...
 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top