Suatu Petang di "Rumah Kebijaksanaan"

Minggu ulangkaji hanya tinggal lebih kurang beberapa hari sahaja lagi sebelum tibanya minggu peperiksaan. Ia juga dikenali sebagai ’study week’ (mohon izin…macam dalam parlimen pula). Sepanjang minggu ini, mahasiswa kelihatan semakin sibuk dengan hidupnya sebagai mahasiswa. Seolah-olah baru nampak watak mahasiswa sebagai seorang mahasiswa dalam konteks menuntut ilmu. Suasana belajar wujud di mana-mana sahaja sekitar kampus. Terutama sekali di perpustakaan. Semalam, sewaktu saya mentelaah di perpustakaan, para pelajar sibuk mencari dan menyalin soalan-soalan peperiksaan tahun-tahun lepas. Di sudut lain, saya melihat pelajar-pelajar cina yang hampir sehari suntuk berada di perpustakaan. Setiap kali selepas saya menunaikan solat, seorang pelajar cina di suatu penjuru tetap tekun dengan komputer ribanya beserta dengan buku-buku rujukannya. Tidak jemu mengulangkaji pelajaran. Begitu juga dengan rakan-rakan mahasiswa yang lain. Tidak ramai.


Fungsi Perpustakaan Zaman Silam

Dalam kesibukan para pelajar menggunakan perpustakaan sebagai tempat belajar, tempat menyalin soalan-soalan dari bank soalan, tempat membuat sebarang tugasan yang diberikan oleh para pensyarah, tempat beristirehat dengan membaca majalah kesukaan atau membaca surat khabar, fikiran saya menerawang ke zaman lampau. Zaman sewaktu perpustakaan menjadi kebanggaan sesebuah kerajaan besar. Zaman yang amat memuliakan ilmu dan cabang-cabangnya. Zaman yang menjadikan perpustakaan sebagai tempat menjana pemikiran dan idea baru untuk kepentingan ummah. Ketika itu, perpustakaan melambangkan suatu kemahsyuran. Tanda ketamadunan sesebuah kerajaan. Saya kagum bila mendengar atau membaca kisah-kisah berkaitan dengan perpustakaan dan fungsinya di zaman lampau. Rasa seolah-olah ingin kembali ke zaman tersebut dan melihat bagaimana sesuatu ilmu itu dikembangkan oleh para intelektual zaman tersebut. Saya teringin melihat Ibnu Rusyd yang amat rajin mentelaah karya-karya agung Yunani, Saya teringin juga melihat al-Khawarizmi mentelaah sesuatu ilmu sehingga berjaya mewujudkan ilmu matematik(Algorithm). Saya teringin merasai penat lelah Imam Bukhari dalam usaha mengumpulkan hadis Nabi SAW, saya juga teringin melihat dan menghayati kehidupan para intelektual Islam yang lain dalam usaha mereka memartabatkan dan menzahirkan Islam sebagai satu cara hidup yang praktikal kepada umat manusia secara keseluruhannya.

Akibat dari keinginan saya yang mendalam itulah, saya mewujudkan sendiri suasana tersebut dalam diri saya dengan cara bertandang ke perpustakaan hampir setiap hari. Saya berminat melihat beribu-ribu buku yang terdapat di dalamnya. Kadang-kadang saya belek satu persatu buku yang ada. Pelbagai kategori buku ada di perpustakaan UMS-KAL ini. Kalau ikutkan hati, mahu saja saya menghabiskan semua buku yang terdapat di dalamnya. Tapi apakan daya, saya tidak mampu membaca semua buku yang ada. Masa saya sebagai seorang pelajar bukan semata-mata duduk di perpustakaan sahaja. Banyak tanggungjawab lain lagi yang perlu diselesaikan. Pada saya, perpustakaan merupakan rumah ketiga saya selain di bilik dan masjid. Perpustakaan adalah tempat saya mempelajari ilmu baru selain di dewan kuliah. Saya semakin jatuh cinta dengan perpustakaan.

Minggu ini, perpustakaan tetap menjadi destinasi utama saya. Kalau pelajar lain, mereka mungkin datang ke perpustakaan untuk ‘memunggah’ bank soalan peperiksaan yang lepas. Kalau pelajar lain, mereka mungkin menggunakan perpustakaan sebagai tempat belajar untuk peperiksaan, saya pula menggunakan perpustakaan untuk membaca buku selain daripada untuk peperiksaan. Jika mahu ulangkaji, saya boleh ulangkaji di bilik sahaja. Tapi untuk mendapatkan ilmu selain daripada di dewan kuliah, perpustakaan adalah destinasi yang tepat (selain daripada melayari internet). Sekarang, saya dalam proses membedah ilmu ekonomi Islam berkaitan dengan wakaf kerana saya perlukan maklumat untuk mengukuhkan kertas kerja saya yang bertajuk ‘Potensi Wakaf Tunai di UMS’. Jadi memerlukan maklumat berkaitan dengan wakaf secara umum dan khusus. Selain itu, bidang falsafah juga mencuri tumpuan saya untuk dibedah. Saya ingin tahu lebih mendalam tentang apa titik perbezaan yang berlaku antara Ibnu Rusyd dan Imam al-Ghazali dalam mempertahankan hujah masing-masing berkaitan dengan ilmu falsafah kerana saya amat baru dalam bidang falsafah ini. Ini antara tujuan utama saya mengapa saya hadir ke perpustakaan, selain belajar ilmu pengkhususan saya dalam bidang kewangan Islam.

Kesimpulan

Saya melihat ada sebahagian para pelajar yang tidak suka ke perpustakaan dengan pelbagai alasan yang tersendiri. Saya hormati pendapat dan pandangan mereka. Tetapi bagi saya, perpustakaan yang ada seharusnya dimaksimakan penggunaannya sebagai tempat untuk menuntut ilmu. Proses menuntut ilmu bukan senang, tapi ia amat menyeronokkan bagi saya. Kelazatan membelek buku dan membaca satu persatu frasa ayat yang ada mampu memuaskan hati saya. Tapi saya tidak nafikan wujudnya kekangan dalam memahami bahasa selain daripada bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, ia tidak pernah melunturkan keinginan yang mendalam saya untuk membaca intipati yang terdapat di dalam sesebuah buku tersebut. Kamus menjadi teman saya dalam menterjemahkan isi buku.

Apapun, semoga perpustakaan dapat menjadi tempat di mana idea-idea atau gagasan besar untuk kebaikan manusia sejagat dapat tercipta atau terhasil di bumi UMS-KAL ini. Ini memerlukan komitmen semua pihak.

Oh, sudah petang, saya terpaksa beransur dahulu.

Catatan 29 Oktober 2008/29 Syawwal 1429

P/S: Kadang-kadang perpustakaan jadi tempat tidur sebab pendingin hawa sejuk sangat…

BERUBAH UNTUK MENGUBAH

ALIFF BASRI
BA ISLAMIC FINANCE (HONS), UMS
W. P. Labuan
http://hadifulwan.wordpress.com

Penulis adalah mantan Naib Presiden (KAL) Majlis Perwakilan Pelajar UMS 0607.

0 comments:

 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top