Masalah Air - Kenyataan Pengarah

03 September — Pagi ini pihak MPP telah bertemu dengan Pengarah Kampus Antarabangsa Labuan, Prof. Shariff Omang bagi mendapatkan pandangan beliau berkenaan isu air ini. Menurut beliau sekali lagi isu air ini dibangkitkan dalam mesyuarat bersama Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Bahagian pentadbiran. Beberapa cadangan telah dikemukakan antaranya yang menarik adalah cadangan untuk mewujudkan paip yang bersambung dengan paip yang menyalurkan air dari Beaufort ke bandar. Pihak MPP menyambut baik cadangan ini, namun ianya merupakan perancangan jangka panjang yang mungkin memakan masa yang lebih lama (seperti isu susur gajah?).

Menurut Prof lagi, walaupun pada awalnya isu air ini dijangka akan berakhir menjelang September, namun krisis air di UMSKAL ini berkemungkinan akan berterusan sehingga awal tahun hadapan. Sehingga kini beberapa orang pensyarah yang prihatin telah mengemukakan cadangan terus kepada pihak pentadbiran supaya mengubah sistem pengagihan air sekarang, daripada lori-lori tangki Jabatan Bekalan Air (JBA) mengangkut air ke tangki-tangki blok asrama, lebih baik lori-lori tangki ini membekalkan air terus ke tangki utama UMSKAL serta mengekalkan paras air di situ bagi memastikan kediaman pelajar sentiasa mendapat bekalan air. Namun sekali lagi, ianya masih di peringkat pertimbangan di pihak HEP dan Pentadbiran.

Walaupun sehingga kini masih belum ada sebarang resolusi berkenaan isu air ini, Prof. sempat memberikan jaminan untuk memastikan beberapa isu berbangkit lain seperti masalah penghawa dingin di dewan kuliah diselesaikan segera, sebelum pertemuan berakhir. Hal ini diharapkan sekurang-kurangnya mengurangkan sedikit kesukaran yang dihadapi mahasiswa berikutan masalah air yang malanda.

Naib Presiden MPP juga memberikan jaminan akan memberikan sokongan padu terhadap cadangan-cadangan dan juga usaha-usaha para pensyarah yang prihatin agar suatu usaha secara bersepadu antara semua pihak dapat diwujudkan bagi mengatasi masalah ini. Pihak MPP sentiasa mengaharapkan agar isu air dapat diselesaikan lebih awal daripada yang dijangka.

WACANA SISWA

0 comments:

 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top