Kementerian Pengajian Tinggi membenarkan sudut pidato atau Speaker’s Corner diperkenalkan semula di semua institusi pengajian tinggi (IPT) bagi mengasah bakat pengucapan umum berkesan di kalangan warga kampus.
Timbalan Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata aktiviti yang boleh dilaksanakan pada bila-bila masa itu sebelum ini dihentikan berikutan pelaksanaan Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (AUKU).
Sambil menjelaskan aktiviti itu boleh diperkenalkan semula setelah AUKU dipinda Februari lalu, beliau berkata, sudut itu memberi pelajar peluang menyuarakan pendapat menerusi pidato umum yang dinanti-nantikan warga kampus.
“Kementerian memberi peluang pelajar berkongsi pengetahuan dengan mengemukakan isu dan topik bernas untuk dikongsi bersama, selain dapat memperkemaskan sistem pengurusan sedia ada dalam usaha memartabatkan IPT.
“Mahasiswa adalah golongan pencetus minda positif dan idea membina dalam membangunkan komuniti kampus serta masyarakat sekeliling,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri 2009 Peringkat Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kampus Antarabangsa dan pelancaran Tabung Kemanusiaan Gempa Sumatera, di Kuala Lumpur, kelmarin.
Saifuddin berkata, pelajar bebas berpidato dengan mengemukakan isu semasa, antaranya politik, ekonomi dan sosial selain pandangan serta kritikan bernas dalam memperkasakan pentadbiran IPT dan negara.
“Kami lebih liberal dalam hal ini kerana yakin pelajar mempunyai wawasan dan pandangan jelas mengenai setiap topik dan isu yang akan mereka kemukakan.
“Usaha ini adalah antara langkah kementerian lakukan bagi melahirkan pelajar serba boleh dan mempunyai semangat juang tinggi,” katanya.
Mengimbau kembali kegemilangan sudut pidato di IPT sekitar 1960-an hingga 1970, katanya, pemimpin pelajar ketika itu di kalangan mereka yang petah berpidato dan mempunyai idea bernas untuk dikongsi bersama.
Beliau berkata, pemimpin kampus juga mempunyai pengikutnya yang berpengaruh dalam memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat, hasilnya negara mempunyai pemimpin yang berani dengan semangat juang tinggi.
“Ramai pemimpin negara hari ini lahir di kalangan pemidato yang bernas mindanya ketika di kampus dan kini menjadi tokoh disegani,” katanya.
Mengulas kemungkinan kelonggaran itu menyebabkan pelajar menjadi alat pihak tertentu menyalurkan dakyah politik mereka, Saifuddin berkata, warga kampus golongan berpelajaran.
Katanya, mahasiswa tidak terpengaruh dengan anasir negatif yang cuba mempengaruhi mereka kerana masing-masing berfikiran matang, manakala topik perbincangan pula dikupas secara rasional sesuai tahap pendidikan.
Berita Harian, 15 Oktober 2009
0 comments:
Post a Comment