Selamat Kembali ke UMS


Pro-Mahasiswa UMSKAL (Pro-M) mengucapkan Selamat Kembali kepada semua mahasiswa. Diharapkan semangat dan azam baru yang membara sempena semester baru dan juga tahun baru 1431 hijrah dapat menganjak paradigma baru yang segar dalam diri.

Sama-sama kita melangkah dengan yakin merentas onak duri tanpa undur dan henti walau sejenak, menjadi generasi keilmuan, mahasiswa minda kelas pertama yang unggul.


Ikhlas Daripada;
Pengerusi Pro-Mahasiswa UMSKAL
Barisan Jawatankuasa Pro-Mahasiswa UMSKAL
ahli-ahli Pro-Mahasiswa UMSKAL

Baca seterusnya...

4,000 Siswa Hadapi Masalah Air yang Serius

Lebih 4,000 pelajar dari dua buah institusi pengajian tinggi di Labuan iaitu Kolej Matrikulasi dan Universiti Malaysia Sabah dikatakan sedang menghadapi masalah bekalan air yang serius.

Jurucakap Dewan Perniagaan Bersama Labuan, Yussof Mohammad berkata masalah tersebut yang dialami sejak awal tahun ini turut dialami oleh kira-kira 85,000 penduduk Labuan.

Yussof membangkitkan perkara tersebut dalam majlis perjumpaan dengan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan turut disertai wakil-wakil Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Labuan (DPMML), Dewan Perniagaan India, Dewan Perniagaan Cina dan Dewan Perniagaan Labuan, di Labuan hari ini.

Raja Nong Chik memberi jaminan akan mengadakan rancangan jangka pendek untuk mengatasi masalah tersebut.

Pengerusi DPMML, Rokiah Ibrahim berkata pelajar institusi pengajian berkenaan terpaksa mandi di tempat terbuka di dalam kawasan kolej mereka.

Para pelajar terpaksa bergantung kepada bekalan yang disediakan oleh Jabatan Air, begitu juga dengan para penduduk, katanya.

Masalah bekalan air di Labuan dijangka selesai menjelang akhir 2010 apabila projek saluran paip bawah laut yang baru bernilai RM365 juta dari Sungai Padas, Beaufort di tanah besar siap disambung.

Masalah kekurangan air berlaku ekoran dua daripada tiga empangan di Sungai Pagar dan Sungai Kerupang telah kering.

Baca seterusnya...

Mahasiswa Mahu Perkataan 'Pelajar' Ditukar kepada 'Mahasiswa'

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) semalam dicadangkan untuk menggunakan perkataan 'mahasiswa' menggantikan 'pelajar' pada nama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di Universiti tersebut

Cadangan tersebut dibuat Pengerusi Pro Mahasiswa UTM, Nur Azim Fahada Ahmad dalam suatu memorandum kepada Naib Canselor Datuk Prof. Ir. Dr. Zaini Ujang semalam.

Beliau berkata, cadangan tersebut sejajar dengan kenyataan Timbalan Naib Canselor Prof. Dr. Tajuddin Ninggal dalam suatu upacara rasmi Universiti sebelum ini.

Beliau juga berpendapat, penggunaan perkataan 'mahasiswa' pada pertubuhan-pertubuhan siswa Universiti sekali gus mengiktiraf kedudukan mahasiswa sebagai kelompok intelektual terpilih di peringkat Universiti.

Beliau turut memaklum inti perbincangan ProM UTM dengan pentadbiran Universiti, sebelum upacara penyerahan memorandum dilakukan.

"Dalam pertemuan tadi (Isnin), perbincangan kami lebih menumpu pada bagaimana semua pihak dapat bekerjasama dalam menjayakan Pelan Pembangunan Mahasiswa dan melestarikan ilmu di semua peringkat," dipetik dari laman rasmi ProM UTM, promahasiswautm.blogspot.com

Dalam perkembangan yang sama, lebih 50 orang mahasiswa berhimpun di lobi pejabat pentadbiran Universiti menuntut diadakan Majlis Pengenalan Calon dan kebebasan berkempen dalam Pilihan Raya Kampus (PRK) yang dijangka umum diadakan pada awal Januari depan.

Baca seterusnya...

Majlis Ilmu di IPT Perlu Babit Pelajar, Masyarakat

PENGANJURAN majlis ilmu di institusi pengajian tinggi (IPT) sepatutnya terbuka kepada pelajar dan masyarakat, bukan eksklusif untuk ahli akademik dan kakitangan sesebuah universiti.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Emeritus Tan Sri Dr Syed Jalaluddin Syed Salim, berkata pihak berkenaan juga perlu diberi peluang supaya mendapat pendedahan mengenainya.

Katanya, selain menambah ilmu, peluang itu juga boleh dimanfaat untuk mengeratkan hubungan antara universiti dengan komuniti luar serta mempraktikkan ketelusan antara pentadbiran IPT dan pelajar.

Beliau berkata, fungsi universiti perlu diperluas sebagai pusat pengantarabangsaan, yang mana warganya mencerminkan bangsa global, jangan hanya hebat di dalam negara tetapi di peringkat dunia ketinggalan.

“Contohnya dalam bidang penyelidikan, kita perlu bersikap lebih terbuka dengan mengambil kakitangan dari luar negara jika mahu bersaing dengan universiti terkemuka.

“Cara kerja pensyarah pula perlu diubah. Utamakan dan lebihkan fokus terhadap bidang akademik, bukan kerja sambilan seperti memberi khidmat nasihat atau perkara lain.

“Tidak mustahil kita juga mampu setanding Stamford University dan Harvard University yang mana kebanyakan pensyarahnya adalah jutawan hasil royalti dan pengkomersialan penyelidikan,” katanya ketika menyampaikan Wacana Intelek bertajuk Trial and Tribulation of an Excellent Academic di Serdang, baru-baru ini.

Sambil menjelaskan setiap kakitangan akademik perlu merealisasikan impian dalam bidang masing-masing, Syed Jalaluddin berkata, aspek diperlukan golongan pendidik di IPT ialah motivasi dan kesungguhan menjayakan sesuatu di samping kerja keras dan kerjasama berpasukan.

Beliau berkata, jangan tunggu hingga naib canselor atau dekan memberi arahan untuk melakukan sesuatu tugasan, sebaliknya jika ada idea bernas terus suarakan.

“Ia mestilah disertakan kertas kerja dan cadangan yang baik untuk meyakinkan pihak pentadbir kerana seperti sudah menjadi lumrah kita takut bersuara sebab bimbang perlu mengepalai sesuatu tugasan.

“Tugas pensyarah bukan sekadar mengajar, tetapi memberi inspirasi kerana akhirnya masyarakat akan menilai dari segi kualiti pelajar yang dihasilkan.

“Bukan hebahan atau iklan menaikkan nama sesebuah universiti sebaliknya apa yang lakukan seperti kejayaan program ditawarkan dan penyelidikan yang mampu membuatkan kita bertaraf dunia,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Baca seterusnya...

Lapan Kajian UMS Menang Pingat

UNIVERSITI Malaysia Sabah (UMS) memenangi lapan pingat pada Persidangan Bioteknologi (BioMalaysia 2009) berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre, baru-baru ini.

Ketua kontinjen UMS yang juga Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Rosnah Ismail, berkata universiti itu meraih tiga emas, dua perak dan tiga gangsa berdasarkan kajian dalam bidang pertanian/industri asas tani serta penjagaan kesihatan dan farmaseutikal.

Katanya, tiga emas dimenangi Prof Madya Dr Chye Fook Yee melalui kajian Acti-Yo, Prof Madya Dr Charles S Vairappan (Actiderm) dan Sim Kheng Yuen (MYFis).

Dua perak dimenangi menerusi projek Lestani: A Potential Biofungicide for Present and Future Control of Ganoderma Boninse (Chong Khim Phin) dan Dr Julian Ransangan (MyVNNeasy Detection Kit).

“Gangsa pula dimenangi Prof Madya Dr How Siew Eng (Osadhi Sensation: Natural Fragrances For Well Being), Prof Madya Dr Vijay Kumar (Plant Total RNA Isolation Kit) dan Ruzaidi Azli Mohd Mokhtar (Innovative Screening Method of Potential AntiDiabetic Plants),” katanya dalam satu kenyataan.

Persidangan bioteknologi terbesar Malaysia itu menjadi platform mengumpulkan idea bernas, penyelesaian praktikal dan kerjasama berkesan di kalangan pakar dalam bidang teknologi bioteknologi dari dalam dan luar negara.

Pada persidangan itu, Rosnah berkata, UMS bertanding dengan lebih 100 peserta antarabangsa, universiti, pusat penyelidikan, agensi kerajaan dan syarikat swasta tempatan.

“Kita akan berusaha memenangi lebih banyak pingat pada masa depan, sekali gus menaikkan lagi nama universiti ini di peringkat antarabangsa,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Baca seterusnya...

Semester IPT Dijangka Ikut Kalendar Luar Negara

Kalendar akademik pengajian tinggi dijangka dikaji semula bagi membolehkan ia selaras dengan kalendar akademik luar negara, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata penyelarasan kalendar akademik itu secara tidak langsung akan dapat menarik lebih ramai pelajar luar negara untuk menyambung pengajian di negara ini.

Selain itu, katanya, perubahan itu juga akan melancarkan lagi proses mobiliti pelajar dan pensyarah ke luar negara dan sebaliknya.

"Sekarang sesi pembukaan pengajian tinggi di sini ialah pada Julai sedangkan kebanyakan universiti luar negara bermula sekitar Ogos dan September.

"Bagaimanapun sebarang perubahan bergantung kepada mesyuarat terakhir dengan Kementerian Pelajaran pada minggu depan," katanya kepada pemberita di Sepang hari ini.

Mohamed Khaled berkata sebarang perubahan juga akan memberikan kesan kepada kalendar persekolahan, jadi banyak perkara perlu dikaji dan diteliti terlebih dahulu.

Sebelum itu beliau merasmikan prapelancaran Karnival Pengajian Tinggi Negara 2010 yang akan bermula pada 9 Januari hingga 27 Mac 2010.

Majlis perasmian karnival itu dijadual dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Johor.

Sumber: Malaysiakini

Baca seterusnya...
 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top