Jangan Leka...!

Penumpuan terhadap isu air belakangan ini, membuatkan pelbagai permasalahan lain tenggelam dari menampakkan kelemahannya. Biarpun air menjadi permasalahan utama bagi setiap mahasiswa, pihak pro-mahasiswa merasakan banyak pro dan kontranya. Bukan bermakna perjuangan mahasiswa dalam menangani isu air menunjukkan tiada permasalahan di kampus yang lain seperti harga makanan di kafetaria yang agak mahal, kebersihan kafetaria yang meruncing, SMP yang masih belum updated,dan sebagainya.

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan barisan kepimpinan mahasiswa yang lainnya, seharusnya tidak terlepas pandang pelbagai perkara lain yang perlu diambil tindakan. Mahasiswa tetap akan memerhati dan seterusnya menilai. Antara isu lainnya yang baru-baru ini berlaku adalah isu bilik kediaman mahasiswi dimasuki lelaki pada tengah malam sekitar jam 3 pagi. Tujuan utama lelaki tersebut memasuki bilik diragui. Individu berkenaan telahpun melaporkan perkara ini kepada pihak universiti. Kes ini amat berat sekali kerana melibatkan keselamatan mahasiswi UMSKAL itu sendiri. Pihak keselamatan seharusnya mempertingkatkan keselamatan belakangan ini, memandangkan kontraktor keluar masuk kawasan kediaman mahasiswi bagi pembinaan tangki. Ini bukan bermakna peluang besar bagi sesiapa sahaja untuk memecah masuk bilik kediaman mahasiswi.


Bukan itu sahaja, turut dilaporkan seorang mahasiswa telah kehilangan komputer riba milik persendiriannya sewaktu malam 'Pertemuan Mahasiswa dengan Pihak Pentadbiran Universiti' yang berlangsung Jumaat lalu. Mahasiswa melihat ramai pengawal keselamatan yang turut berada di Dewan Utama ketika itu. Bagaimana pula kawalan keselamatan diluar dan kawasan kolej kediaman? Adakah mahasiswa lebih ganas dan perlu dikawal oleh pihak keselamatan sepanjang masa berbanding orang luar yang tidak dikenali?

Perkara ini perlu dipandang lebih berat oleh pihak terbabit bagi mengatasinya. Sepatutnya kawalan di pintu masuk utama dikawal rapi bagi kereta dan individu yang tidak dikenali. Akan tetapi, sebaliknya pula yang berlaku. Pengawal keselamatan sibuk menahan mahasiswa yang ingin membawa naik kereta sewa yang mereka gunakan untuk menghantar barang yang banyak dan berat walaupun sekejap sahaja masa yang diperlukan. Sebaliknya pula yang berlaku ketikamana orang luar yang tidak dikenali pula yang dibenarkan naik ke kawasan kediaman walaupun tidak mempunyai 'sticker' yang tidak langsung ditahan dan tanpa perlu memberi sebab.

Penulis berpengalaman mengalami sendiri perbezaan layanan pengawal keselamatan bilamana penulis sendiri memandu kereta sewa dan tidak dibenarkan untuk naik ke kawasan kolej kediaman. Akan tetapi, bilamana penulis dihantar oleh keluarga angkat pula dibenarkan untuk naik ke kawasan kediaman walaupun kedua-dua kereta tidak mempunyai 'sticker' Keselamatan UMS. Sama juga ia berlaku untuk entah keberapa kali. Layanan pihak keselamatan turut berbeza terhadap kereta besar dan mahal tidak mengira siapa pun pemandunya.

Lalu, harus bagaimana perkara ini diselesaikan? Banyak laporan dan aduan sudah dibuat, namun perkara yang sama tetap berlaku setiap semester. Kerana masih lagi sistem yang sama digunakan. Adakah sistem keselamatan kampus sudah cukup membuatkan mahasiswi terutamanya, merasa nyenyak untuk tidur malam? Apakah tindakan yang pihak barisan kepimpinan mahasiswa telah lakukan?

Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) pula sibuk dengan program-program mereka. Tapi, adakah kebajikan mahasiswa sudah cukup dibela? Yang manakah sebenarnya misi utama mereka yang ingin mereka dahulukan dalam kepimpinan mereka?

Baca seterusnya...

Air: Kita Tunggu dan Lihat

28 Februari lalu genap sebulan sejak barisan kepimpinan pro-M UMSKAL mendapat mandat besar daripada mahasiswa. Hari ini pula genap seminggu sejak demonstrasi Himpunan Mahasiswa Mendesak Pulihkan Air (PULIH). Lebih seribu mahasiswa turun menyertai, jumlah yang secara statistiknya melebihi 50% daripada jumlah keseluruhan penuntut UMSKAL. Sekejap sahaja nama UMSKAL telah menjadi sebutan, demonstrasi seumpamanya yang pertama di Labuan, lapor Bernama.

Selama sebulan ini, krisis air ini tidak mengizinkan Saudara Herryanto selaku Naib Presiden (KAL) yang baru untuk berehat. Walaupun baru sahaja mengambil alih kerusi kepimpinan daripada pimpinan terdahulu, barisan kepimpinan baru MPP tidak membuang masa untuk memperjuang nasib mahasiswa KAL. Setiap peluang perlu digunakan untuk menyuarakan perkara ini (air) ke atas, lengkap dengan cadangan penyelesaian. Malangnya, daripada berita yang didengar, apabila dibawa ke mesyuarat MPP di kampus induk, suara KAL diperlekeh, dikatakan “kebudak-budakan,” konon banyak lagi isu lain yang lebih penting untuk dibincangkan. Ini belum lagi diperkatakan halangan-halangan lain yang diterima oleh MPP KAL dalam membawa isu ini.

Walaupun masalah air ini, masalah yang dikongsi bersama oleh seluruh penduduk Labuan, namun KAL mengalami kesan yang paling teruk. Jika di tempat lain catuan air masih berjalan, di sini mahasiswa pernah tidak menerima walau setitis air dalam beberapa hari. Hal ini berlaku ketika di institusi-institusi pengajian lain di Labuan seperti Kolej Matrikulasi Labuan (KML) dan Sekolah Menengah Sains Labuan (SMSL) masih menerima bekalan air secara berterusan walaupun secara catuan, hasil pengurusan yang yang cekap pihak pengurusan institusi berkenaan yang mengutamakan kebajikan pelajarnya.

Kemuncaknya, mahasiswa tidak lagi dapat menahan rasa. Perjumpaan awal dengan pihak HEP dan pentadbiran serta pihak JBA pada malam Isnin, 1 Mac lalu hampir sahaja menimbulkan demonstrasi “pertama.” Seterusnya suara mahasiswa ini akhirnya “bergema” dalam demonstrasi keesokan harinya, Selasa 2 Mac.

Ternyata demonstrasi ini banyak memberi kebaikan kepada mahasiswa KAL, sama ada kepada yang menyokong atau yang tidak menyokongnya. Isu yang tidak dapat diselesaikan selama 9 bulan, akhir telah nampak usaha-usaha penyelesaiannya. Syukur, harapnya segala janji-janji yang dinyatakan dalam perjumpaan Jumaat lepas tertunai dan dapat diselesaikan mengikut masa yang ditetapkan. Kini pada mahasiswa, hanya tinggal tunggu dan lihat. Mahasiswa adalah “hakim” yang akan terus mengadili. MPP pula akan meneruskan kerja-kerja mereka menyemak isu lain pula demi kesejahteraan mahasiswa.

Baca seterusnya...

Hasil Pertemuan Pihak Pentadbiran UMSKAL Bersama Mahasiswa


Maklumat Yang Diperoleh:

En. Mohd Zamri B. Mohd Tuah (Penolong Pendaftar Kanan HEPA)
  1. Jawatankuasa 'ad-hock' telah ditubuhkan bagi mengatasi masalah air di Labuan. Berperanan memastikan air yang dibekalkan mencukupi, konsisten dan berkeadaan baik.
  2. HEP akan memastikan bekalan air (lori) dibekalkan secara berterusan.

Cik Kamisah Husin (Timbalan Pendaftar)
  1. Dalam masa 10-14 hari akan siap pam dan saluran tangki ke tangki-tangki atas blok kediaman untuk 5 buah tangki utama di kolej kediaman. untuk tangki-tangki selebihnya, akan disipkan dalam bulan 4 tahun ini.
  2. 10 buah kanvas tertutup dibekalkan, 8 buah di kolej kediaman mahasiswi, dan 2 buah di kolej kediaman mahasiswa.
  3. Memegang prinsip "Customer is Always Right'.
  4. Kontrak dengan 'Major Maintenance' sebanyak RM18juta diperuntukkan untuk menaiktaraf dan membangunkan UMSKAL: -Pembersihan tangki-tangki air secara berkala di UMSKAL. -mengemaskini kabel elektrik. -menaiktaraf kompleks sukan.
  5. RM600,000 diperuntukkan untuk 15 buah tangki dan pam.
  6. Setiap minggu laporan kesihatan akan dilaporkan oleh Jabatan Kesihatan yang memantau kualiti air yang dibekalkan.
  7. Laporan 'task force' turut dilaporkan.

Walaupun pelbagai tohmahan yang diberi dari pelbagai pihak dan dari pelbagai sudut, mahasiswa UMSKAL telah dapat membuktikan bahawa 'KITA SATU KELUARGA'. Saling lindung-melindungi dan saling bersatu hati menyuarakan hak sebagai seorang mahasiswa. Sehinggakan, penjelasan dan resolusi yang dinantikan oleh mahasiswa dari pihak pentadbiran universiti telah dapat dicapai. Ini dibuktikan dengan kesatuan mahasiswa yang hadir di dewan utama pada malam Jumaat tersebut dengan memakai pakaian berwarna hitam.
"Mahasiswa bukanlah kanak-kanak yang senang ditipu dengan janji-janji, tetapi mahasiswa perlukan penjelasan konkrit untuk memahami keadaan selain dapat memberi cadangan..."
- mantan exco 3K MPP
Antara cadangan mahasiswa:
  1. Perkasakan 5S yang tidak tercapai dikalangan staf. (Sdra.Musid, SSIL)
  2. Kurangkan birokrasi dikalangan staf dan pentadbiran universiti terutama bagi kes-kes kecemasan. (Sdri.Qatrunnada, mantan exco 3K)
  3. Memberi penerangan umum kepada mahasiswa secara telus dan tepat bagi permasalahan yang melibatkan mahasiswa. (Sdri. Qatrunnada, mantan exco 3K MPP)
  4. Memandang tinggi peranan pemimpin mahasiswa yang seharusnya dipandang suara mereka mewakili suara 2000 orang mahasiswa, dan bukannya suara individu. (Sdri.Qatrunnada, mantan exco 3K)
  5. Membuat pemerhatian terperinci tentang permasalahan kualiti air di kampus oleh pihak yang pakar dalam bidang tersebut. (Sdra. Abdillah, mantan naib presiden MPP)
  6. Memasang kanvas yang kukuh atau memperbaharui kanvas penghadang tempat mandi sedia ada. (Sdri.Hanisah, SPKAL)
  7. Untuk sesi baru yang bermula Julai akan datang, UMSKAL dicadangkan supaya ditutup sehingga permasalahan air selesai dan mahasiswa KAL dipindahkan di kampus induk untuk meneruskan pengajian. (Sdra.Abdillah, mantan naib presiden MPP)
  8. Memperkasakan cadangan-cadangan yang dikemukakan di dalam kertas kerja cadangan MPP yang diserahkan sewaktu delegasi.
Pelbagai perkara yang telah disampaikan oleh Pengarah Kampus, Prof.Dr.Shariff A.K Omang, yang menunjukkan kepada mahasiswa bahawa beliau cuba melindungi staf bawahannya dan menyalahkan mahasiswa sehingga menimbulkan kemarahan mahasiswa. Namun, beliau tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya oleh mahasiswa memandangkan beliau baru sahaja ditukarkan ke UMSKAL dari kampus induk di Kota Kinabalu.

"Saya amat mengenali Prof.Shariff...Saya cukup kenal dengan sifat beliau yang cukup mengambil berat mahasiswa dan seringkali turun padang. Seringkali saya berdiskusi dengannya tentang isu-isu kampus. Pertemuan pada malam ini yang pada awalnya cuba dibatalkan oleh pihak HEP memandangkan keselamatan telah ditarik balik oleh Prof. dan beliau meminta untuk bersemuka dengan mahasiswa menghadapi masalah yang timbul. Saya tahu tidak banyakyang beliau ketahui tentang permasalahan air ini dan adalah tidak adil beliau yang perlu menjawab segala permasalahan yang dipersoalkan mahasiswa..."
- mantan naib presiden MPP

Kenyataan yang diberikan oleh mantan Naib Presiden MPP tersebut, sedikit sebanyak meredakan keadaan dewan yang gamat dek kerana respon terhadap pengucapan Pengarah Kampus. Namun, ia digantikan pula dengan sorakan mahasiswa menyeru pihak HEP untuk memberi penjelasan serta resolusi, dan bukanlah semata-mata pengakuan salah oleh Pengarah Kampus atas kelambatan bertindak menangani permasalahan air oleh kakitangan yang sepatutnya bertanggungjawab.

Walaupun sesetengah pihak telah berusaha melaksanakan tanggungjawab dan tugas mereka yang sepatutnya menjaga kebajikan mahasiswa dengan baik, akan tetapi terdapat juga pihak lain yang memainkan peranan mereka sebaliknya yang pastinya terancam.
"Kepada staf dan kakitangan sokongan yang telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan berusaha sehabis baik, tahniah diucapkan. Akan tetapi, bagi mereka yang tidak menjalankan tanggungjawab mereka, bersedialah, kerana anda akan menjadi sasaran mahasiswa seterusnya pada masa akan datang kerana mahasiswa sedang memerhati..."
- mantan exco 3K MPP
Dari pihak pro-mahasiswa melihat bahawa, mahasiswa UMSKAL bukanlah lagi seperti kayu yang basah. Mahasiswa kini telah menjadi kayu yang kering dan telah terbakar dek kerana isu yang melibatkan kebajikan ini. Bukan sahaja kini, malah pada msa akan datang, mahasiswa pastinya bangkit pada bila-bila masa sahaja untuk menegakkan hak mereka yang tercalar. Kerana, kayu yang kering itu, bila-bila masa sahaja boleh terbakar. Pemimpin yang telah dilantik, perlulah memainkan peranan masing-masing dengan baik dalam pada kita sama-sama membawa mahasiswa kearah kebangkitan yang sejajar dengan keintelektualan tinggi dengan menerapkan kasahsiahan yang jitu dan seimbang dari sudut IQ, EQ, dan SQ secara terfokus dan bukanlah tergopoh-gapah.

Tahniah Mahasiswa UMSKAL!

Baca seterusnya...

MAKLUMAN


PERJUMPAAN KHAS PIHAK PENTADBIRAN UMSKAL
BERSAMA MAHASISWA

TARIKH : 5 MAC 2010 (JUMAAT)
MASA : 7.30 MALAM
TEMPAT : DEWAN UTAMA
PAKAIAN : SEMI FORMAL
ANJURAN : MPP & PMUMSKAL

Pengarah kampus bersama wakil semua jabatan pentadbiran UMSKAL akan hadir pada malam tersebut.

Gunakan ruang dan peluang yang kita ada untuk menyampaikan suara MAHASISWA

"DARI MAHASISWA UNTUK MAHASIAWA"

Baca seterusnya...

"Saya Tidak Akan Halang Mahasiswa" - Naib Presiden MPP UMSKAL


Kenyataan Sdra. Herry Anto Hasanuddin (Naib Presiden MPP UMSKAL Sesi 2009/2010)

Mahasiswa mengalami kesusahan menjalani sesi pengajian bukan sahaja sehari dua ini, malahan bermula semenjak bulan Jun tahun lalu. Bagaimana dapat kita bayangkan mahasiswa yang perlu menumpukan perhatian terhadap pembelajaran terpaksa mengharungi kehidupan kampus yang ketiadaan air? Setiap hari perlu mengangkut air untuk keperluan harian selain memperolehi air yang kurang bersih dan tidak sesuai untuk diminum.

Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) sebelum ini telah melahirkan mahasiswa kelas pertama yang mendapat pelbagai bentuk anugerah. Akan tetapi, perkara ini tampaknya hanya mimpi untuk sesi akan datang. Bukan sahaja motivasi mahasiswa yang telah terjejas, malahan terdapat banyak kes-kes tarik diri dari meneruskan pengajian telah berlaku.

Hal ini telah mendapat perhatian berat oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi kepimpinan lalu, yang mana mereka telah berusaha agar air tetap dibekalkan kepada mahasiswa walaupun melalui penghantaran oleh lori-lori tangki air pada setiap hari di kolej kediaman mahasiswa dan sekitar kampus. Perbincangan demi perbincangan telah dibuat. Mesyuarat demi mesyuarat telah dijalankan untuk mendapatkan solusi dari permasalahan yang berlaku. Daripada punca hinggalah kepada penyelesaian dicari untuk dimaklumkan kepada mahasiswa. Sehinggakan MPP sesi lalu telah menjalankan ‘Delegasi Ke Putrajaya’ dan ‘Delegasi Ke Pejabat Menteri Sabah’ untuk menghantar memorandum dan kertas Kerja Cadangan bagi penyelesaian masalah air di kampus bahkan untuk seluruh Labuan.

Rentetan dari itu, permasalahan air ini telah mendapat perhatian banyak pihak tertinggi kerajaan. Mesyuarat dan pertemuan dijalankan diantara Pemimpin Mahasiswa UMSKAL dan pihak pentadbiran UMS bersama Menteri Wilayah, Jabatan Bekalan Air Labuan, Ahli Parlimen Labuan, dan Perbadanan Labuan. Walaupun beberapa resolusi telah dicapai dan disepakati, saya melihat ia hanyalah janji semata-mata tinggal janji. Kerana permasalahan air tetap berlaku malah lebih teruk berbanding hujung tahun 2009 yang lalu.



Biarpun air nampaknya sedikit pulih pada awal Januari 2010 yang lepas, air kembali tiada sejak Khamis minggu lalu malah lebih teruk lagi. Bukan sahaja air tiada untuk kegunaan harian mahasiswa di kolej kediaman, malah menara pentadbiran, masjid dan cafeteria turut sama kekeringan air. Penjualan makanan di kafetaria turut berkurang gara-gara ketiadaan air. Saya mendapat khabar bahawa masalah ini bukan sahaja di UMSKAL, malah sekitar Labuan turut terjejas. Perkara ini sangat-sangat membuatkan mahasiswa hilang kesabaran dan mula menunjukkan kemarahan.

Saya turut mendapat aduan dan respon kemarahan mahasiswa yang secara terang ingin mogok tidak mahu datang ke kuliah sehingga masalah air selesai. Bukan itu sahaja, demonstrasi yang ingin dijalankan oleh mahasiswa pada bulan Ogos 2009 yang lalu yang telah dihalang oleh MPP sesi lepas kini dikatakan akan terjadi.

Saya sebagai pemimpin tertinggi mahasiswa UMSKAL bagi sesi 2009/2010 yang baru sahaja ditaklifkan pada hujung Januari lalu, dengan tegas ingin menyatakan bahawa saya tidak akan menghalang mahasiswa untuk menjalankan mogok ataupun demonstrasi terhadap permasalahan air yang berlaku. Malahan, saya menyatakan sokongan terhadap tindakan ini. Saya turut membuka medan untuk mahasiswa meluahkan segala yang ingin disampaikan kepada mana-mana pihak yang ingin mendengar keluhan dan suara mahasiswa UMSKAL . Surat-surat telah diedarkan kepada pihak pentadbiran UMSKAL dan pensyarah-pensyarah untuk memaklumkan ‘Perjumpaan Tergempar Mahasiswa’ yang akan berlangsung di perkarangan PALAPES yang berhadapan dengan barisan gerai mahasiswa pada 1 Mac 2010, Isnin iaitu pada jam 8.30 malam. Terpulang kepada pihak pentadbiran universiti untuk hadir atau tidak kerana mahasiswa akan bersuara ketika itu.


Selain dari itu, mogok untuk tidak hadir ke kelas-kelas dan kuliah-kuliah bermula hari Selasa yang dinyatakan oleh mahasiswa juga tidak akan saya halang. Begitu juga dengan demonstrasi yang bakal berlaku. Pendirian saya yang mewakili seluruh kepimpinan mahasiswa UMSKAL adalah, kami tidak akan menghalang kebangkitan mahasiswa menghadapi permasalahan air di kampus disamping kami turut memberi sokongan dan akan menghadirkan diri untuk setiap perkara yang terjadi di kampus akan datang.

Saya juga ingin memaklumkan bahawa kepimpinan kali ini adalah kepimpinan yang akan meneruskan kesinambungan perjuangan bagi kepimpinan yang lalu dan kami bukanlah bermula semula dengan membuka buku baru dengan melakukan apa yang telah dilakukan oleh MPP lalu, tetapi kamilah yang akan menyambung segala perjuangan yang tidak sempat dihabiskan oleh mereka. Jika perbincangan, mesyuarat dan pertemuan tidak berjaya menyelesaikan masalah, maka saya dan barisan kepimpinan mahasiswa tidak akan ragu-ragu untuk tidak menghalang kebangkitan mahasiswa yang ingin suara mereka didengari sebagai salah satu cara untuk menyelesaikan masalah air ini. Walaupun meja rundingan masih terbuka luas untuk membincangkan masalah-masalah lain bersama-sama pihak pentadbiran university, akan tetapi permasalahan air, saya serahkan kepada mahasiswa untuk menilai dan mengambil tindakan dan saya tetap membantu setakat yang mampu untuk adil kepada semua pihak…

* kenyataan ini dirakamkan sebelum malam 'Pertemuan Tergempar Mahasiswa'


Pihak pro-mahasiswa merakamkan rasa simpati kepada pemimpin tertinggi mahasiswa UMSKAL kerana terpaksa berhadapan dengan masalah mahasiswa yang sudah tidak dapat bersabar dengan tekanan hidup di kampus sehinggakan pertemuan yang dirancang telah bertukar menjadi luahan rasa kemarahan dan tekanan mahasiswa. Pada masa yang sama beliau turut perlu menjawab segala tohmahan pelbagai pihak samada dari atasan mahupun dalaman MPP juga masyarakat luar umumnya. Disamping ingin memuaskan hati mahasiswa, beliau turut perlu mempertimbangkan hati selain dari mahasiswa.

Pihak pro-mahasiswa bangga mempunyai pemimpin yang berjiwa rakyat! Kami tahu pemimpin kami tidak bersalah, malah kami turut mendesak pemimpin kami untuk memberi ruang dan peluang untuk kami bersuara...

Makluman: Sdra. Herry Anto Hasanuddin, Naib Presiden MPP UMSKAL telah diarahkan untuk ke kampus induk pada pagi ini (Rabu, 3 Mac 2010) untuk menjawab segala perkara yang berlaku 2 hari ini. Kemungkinan juga, beliau akan mendapat tuduhan menganjurkan demonstrasi walaupun bukanlah beliau yang menganjurkannya. Sama-samalah kita pertahankan pemimpin kita...!

Baca seterusnya...

Pelajar UMSKAL Berdemonstrasi Tuntut Bekalan Air

02 Mac, 2010 21:13 PM

LABUAN, 2 Mac (Bernama) -- Lebih 1,000 pelajar Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) Selasa mengadakan piket bagi menuntut pihak berkuasa mencari penyelesaian segera terhadap masalah bekalan air di kampus itu.



Piket tersebut adalah yang pertama seumpamanya di pulau ini berikutan kekurangan bekalan air yang berlaku di sini sejak pertengahan tahun lepas.

Sambil membawa sepanduk dan poster, mereka berkumpul di kampus itu, yang terletak kira-kira 14km dari bandar Labuan, sejak pukul 9 pagi di bawah pengawasan polis.

Kuliah di kampus berkenaan dihentikan sementara berikutan piket itu.

Bercakap kepada Bernama, naib presiden majlis perwakilan pelajar UMSKAL Heryanto Hasanudin berkata mereka telah menyerahkan satu memorandum kepada Jabatan Hal Ehwal Pelajar universiti itu sebelum piket tersebut diadakan.

Katanya dalam memorandum itu, pelajar meminta Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melawat UMSKAL bagi melihat sendiri keadaan di situ; meminta bekalan air bersih disediakan secara berterusan; dan meminta universiti itu ditutup sehingga masalah bekalan air di situ diselesaikan.

Lebih 2,500 pelajar menuntut di universiti itu, sebahagian besarnya berasal dari tanah besar Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia serta sebilangan kecil dari China, Indonesia dan negara lain.

"Akibat masalah bekalan air ini, ada pelajar yang berhenti dan melanjutkan pengajian di universiti lain," katanya.

Heryanto berkata pelajar menghadapi masalah bekalan air di kampus itu sejak semester pertama tahun lepas dan berharap keadaan akan bertambah baik pada semester kedua.

"Malangnya, keadaan bertambah buruk. Kami telah suarakan masalah ini sejak tahun lepas, tapi ia terus berlarutan. Kami harap menteri berkenaan akan mencari jalan bagi membantu kami," katanya.

Kini, pelajar universiti itu bergantung pada bekalan air yang dihantar oleh lori tangki Jabatan Bekalan Air bagi memenuhi keperluan harian mereka.

Heryanto berkata mereka cuba menghubungi naib canselor universiti itu untuk mendapatkan bantuan, tetapi tidak berjaya.

Usaha Bernama untuk menghubungi pengarah UMSKAL juga tidak berhasil.

Sementara itu, Anggota Parlimen Labuan Datuk Yussof Mahal berkata beliau telah meminta Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air mencari penyelesaian bagi masalah kekurangan bekalan air di Labuan.

"Kami tidak boleh biarkan para pelajar dan rakyat kami terus mengalami masalah ini sepanjang masa. Kami tak akan dapat menarik pelabur sekiranya masalah ini berterusan," katanya.

UMSKAL memerlukan sekurang-kurangnya 120,000 gelen air sehari bagi memenuhi keperluan pelajar dan petugasnya.

Sementara itu, berikutan perbincangannya dengan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Ahmad Phesal Talip, Jabatan Bekalan Air dijangka menghantar bekalan air yang secukupnya ke universiti itu.

Masalah kekurangan bekalan air di Labuan dijangka berakhir Disember ini apabila projek saluran paip dasar laut dari Beufort ke pulau berkenaan berharga RM365juta, disiap sepenuhnya.

Kini, Labuan bergantung pada bekalan air dari tanah besar Sabah melalui saluran paip dasar laut dari Sungai Padas di daerah Beaufort. Permintaan terhadap bekalan air di Labuan ialah kira-kira 56 juta liter sehari, sedangkan bekalan semasa hanya berjumlah 42 juta liter.

Masalah bekalan air di Labuan bermula apabila dua daripada tiga empangan kering awal tahun lepas.

-- BERNAMA--

Baca seterusnya...
 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top