Kebelakangan ini, pihak pro-mahasiswa mendapati, masalah ini kelihatannya seperti menjadi semakin serius, dan tidak ada petanda bahawa pihak pentadbiran yang menjanjikan akan menambah bilangan tangki di blok kediaman pelajar berserta pam (pam air ke tangki atas blok) dan janji JBA untuk membekalkan 12 tangki air sehari kepada mahasiswa UMSKAL akan tertunai. Malah saya mendapati, mahasiswa semakin mendesak agar janji-janji tersebut segera ditunaikan.
Diperingkat pro-mahasiswa, saya berpandangan tindakan-tindakan agresif daripada semua persatuan pelajar khususnya MPP itu sendiri sangat diperlukan ketika ini untuk menunjukkan bahawa kita tidak selesa dengan kadar usaha pihak pentadbiran yang seolah-olah meremehkan isu ini. MPP pro-M sendiri telah mengatur strategi-strategi segera untuk menghimpunkan mahasiswa yang sengsara ini untuk kita dengar suara dan sepakat daripada mahasiswa untuk tindakan selanjutnya yang perlu diambil diperingkat mahasiswa.
Perjumpaan tergempar ini, bukan sekadar perjumpaan 'biasa-biasa' untuk kita bertempik dan mencarut, tetapi perjumpaan ini haruslah menjadi medan memberi sumbang saran terhadap kepimpinan mahasiswa untuk sama-sama mencari dan bersepakat dengan satu pelan tindakan segera yang akan diambil oleh mahasiswa sebagai langkah desakan terhadap pihak pentadbiran universiti khususnya dan kepada kerajaan malaysia umumnya berhubung dengan masalah hak asasi yang tidak tertunai ini.Pihak pro-m sangat mengagumi, semangat dan kesungguhan segelintir mahasiswa yang menghubungi saya sendiri dan wakil-wakil MPP pro-M, menyatakan hasrat besar untuk bertindak dengan lebih agresif mendepani masalah air ini. Desakan dan sokongan padu inilah yang kami harapkan daripada kita semua sebagai mahasiswa sedar. Antara idea-idea dilontarkan kepada pihak pro-m seperti mengadakan mogok tidak datang kelas, dan demonstrasi besar-besaran sebagai tanda protes mahasiswa terhadap masalah air ini. Lontaran idea ini, sememangnya terkandung dalam perancangan pro-M dengan mempertimbangkan kerjasama dan kesediaan semua mahasiswa untuk bersama-sama kami. Pihak pro-M tidak akan teragak-agak menyambut saranan anda semua, sekiranya anda sebagai mahasiswa bersedia mengembling tenaga, menghimpun daya, menyatu suara untuk kita bangkit menyatakan kepada semua bahawa kita bukan anak-anak kecil yang begitu senang diperlekehkan.
Namun ingin saya nyatakan disini, kepada pihak-pihak yang menganggap tindakan agresif mahasiswa ini sebagai tindakan tidak profesional, sila nyatakan cara profesional bagaimana yang dicadangkan untuk memberitahu pihak berwajib bahawa kita sedang sengsara. Apa lagi prosedur yang tidak kita lalui, sekian banyak mesyuarat dan perbincangan meja bulat melibatkan menteri-menteri, berapa banyak surat telah pihak MPP hantarkan kepada pihak yang bertanggungjawab mohon penjelasan dan penyelesaian, malah pihak MPPKAL telah sedaya upaya membawakan isu ini untuk dibincangkan dengan Ketua Menteri Sabah baru-baru ini, malangnya kenyatan berlepas tangan yang diberikan.
Lebih mendukacitakan, apabila dikhabarkan pihak MPP UMS induk pada awalnya menyekat MPPKAL untuk menyuarakan isu air ini dalam perjumpaan tersebut kerana kononnya isu 'kebudak-budakan' tetapi setelah didesak dan MPPKAL bertegas terhadap pendirian untuk membawakan juga isu air tersebut sebagai salah satu agenda perbincangan. Pihak lain yang hanya sekadar mendengar dan melihat kesengsaraan kita sebagai mahasiswa dalam masa ketiadaan bekalan air ini, memang tidak akan memahami kondisi dan situasi mahasiswa kita.
"DARI MAHASISWA UNTUK MAHASISWA"
Mohd. Abdillah bin Matlin
Pengerusi Pro-Mahasiswa, UMSKAL


