Mahasiswa dan Masa Depan Ekonomi Negara


Situasi Ekonomi Semasa


Kemelesetan ekonomi dunia yang bermula berikutan krisis sub-prima telah berakhir, namun pemulihannya ketika ini berkembang pada tahap yang perlahan.

Ketika saya menghadiri “2010 Post Budget Economic Outlook Seminar”, yang dianjurkan oleh Penang Chinese Chamber of Commerce dengan kerjasama ASNB dan CIMB yang diadakan pada 3 November 2009 di Hotel Cititel, Pulau Pinang, secara global memperlihatkan perkembangan ekonomi Malaysia berada antara negara yang melalui tahap perkembangan ekonomi yang terendah, 2.5%.

Justeru usaha-usaha yang lebih mampan harus dijana dari semasa ke semasa dan untuk itu, para mahasiswa yang lahir dari seluruh IPTA umumnya dan dari UMS-KAL khususnya harus turut serta dalam arus memperbaiki ekonomi negara pada tahun-tahun mendatang. Usaha ke arah tersebut mesti bermula dari ketika masih di universiti ini.

Kepentingan Mahasiswa dalam Membentuk Senario Masa Depan Malaysia

Antara agenda Bajet 2010 yang di ‘highlight’ dalam seminar tersebut adalah memacu negara ke arah rakyat berpendapatan tinggi di samping memberi fokus kepada hub halal dan pembangunan teknologi hijau (green technology development). Namun usaha ini tidak akan berjaya tanpa kehadiran para mahasiswa yang meletakkan diri mereka sebagai entiti yang penting dalam pembangunan negara. Mahasiswa harus berjiwa besar namun tidak sombong; hebat dan belajar menjadi hebat, tetapi beriman dan berpegang teguh pada agama. Berfikiran terbuka, tetapi dengan panduan para ulama’ yang berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah (teladan Rasulullah s.a.w). Kekuatan ini yang perlu dalam diri kalian.

Cabaran Ekonomi Malaysia yang perlu dihadapi:
a) pemulihan ke arah ekonomi yang lebih stabil;
b) Defisit fiskal yang kekal sejak 13 tahun lalu;
c) Pelaburan swasta yang rendah, dari 32% (1997) menjadi 9.6% (2009);
d) Persaingan ke atas Pelaburan Langsung Asing (FDI);
e) Tenaga kerja yang berkemahiran;
f) Keperluan untuk memacu perubahan ke arah ekonomi yang inovatif dan kompetitif.

Apa yang penting pada masa ini buat kalian adalah dua cabaran (e) dan (f). Para graduan yang lahir dari universiti tidak dapat tidak untuk memiliki nilai tambah (value added) dan kemahiran dalam bidang lain, tidak mencukupi hanya dengan ijazah yang dimiliki, kerana rentak pekerjaan semasa melihat kepada fleksibiliti perlaksanaan tugas. Dengan kekuatan manpower yang berkemahiran tinggi dapat merubah persekitaran ekonomi yang inovatif dan kompetitif seperti yang diinginkan.

Daripada "World Competitiveness Report 2009/2010" yang dikeluarkan oleh "The World Economic Forum (WEF)" Statistik menunjukkan Malaysia jatuh dari tangga 21 kepada 24 kerana kelemahan dalam kerangka peraturan perundangan dan pentadbiran yang jatuh dari tangga 17 kepada 43 dalam masa 2 tahun. Nah! Ini satu lagi perkara yang harus diberi perhatian oleh mahasiswa. Sebagai sebuah generasi baru yang berkredibiliti serta memiliki ilmu pengurusan, statistik ini harus diperbaiki sebaik kalian keluar dari universiti tempat kalian bertapak mencari ilmu.

Secara seriusnya, saya mengharapkan agar mahasiswa mengambil peluang di universiti untuk "menguasai" bukan sekadar "mengetahui" ilmu-ilmu yang dipelajari. Selain itu, mahasiswa juga perlu mengasah pemikiran untuk lebih kreatif dan kritis, serta sentiasa peka dan menilai dengan tepat isu-isu semasa negara. Malaysia menagih kebijaksaan dan usia muda kalian untuk meneraju masa depannya. SALAM MAJU JAYA!

MOHD HAFIZ BIN TAJUDIN
Penolong Penyelidik Sosioekonomi
Penang Research Centre in Socio-Economy (PReCISE)

Penulis ialah seorang alumni UMSKAL 2005-2009

Baca seterusnya...

Mahasiswa Lesu: Di Mana Silapnya

Mahasiswa/i dianggap mutiara yang bersinar di puncak yang tertinggi. Sudah semestinya menjadi kebanggaan keluarga daan masyarakat apabila melihat anak yang ditatang sejak kecil itu berjaya melangkah ke menara gading. Dengan harapan, mereka dapat menjadi insan yang berbakti kepada masyarakat suatu hari nanti. Untuk melahirkan belia harapan negara, ia bukanlah tertumpu kepada akademik semata-mata. Tetapi, kemahiran dan nilai tambah dalam diri mahasiswa/i itulah menjadi pemangkin untuk melahirkan generasi yang berintelektual tinggi dan berkredibiliti kepimpinan.

Jika dilihat konsep mahasiswa/i itu sendiri, mahasiswa merupakan salah satu agen yang sangat penting dalam menentukan perkembangan masyarakat dari segi "Intelectual Quality" (IQ), "Spritual Quality" (SQ) dan "Emotional Quality" (EQ). Mahasiswa perlu membawa pendirian mereka tersendiri tanpa dieksploitasioleh mana-mana badan politik. Sejarah telah membuktikan pada masa sekitar 1960-1970an, memaparkan bagaimana gerakan mahasiswa/i Universiti Malaya (UM) berani menampilkan diri dan menggoncang dunia pada ketika itu demi membawa suara rakyat. Isu yang kerap menjadi perhatian adalah isu "Hamid Tuah" hinggalah ke isu "Kebangkitan Rakyat Baling", yang menjadi wadah mahasiswa/i berhubung dengan masyarakat. Tidak asing lagi pemimpin mahasiswa/i pada masa itu seperti Anwar Ibrahim (Datuk Seri), Hamid Ali, Hishamuddin Rais dan sebagainya yang terus menerus lantang bersuara untuk menegakkan hak rakyat itu sendiri.

Namun, hari ini lain pula yang terjadi. Mahasiswa/i hanya tertumpu pada akademik semata-mata tanpa kemahiran. Hal ini berikutan selepas pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1975, yang melahirkan gerakan mahasiswa/i yang semakin lesu. Kelesuan dari sudut kebajikan rakyat, masalah jenayah dan sebagainya. Sebelum AUKU dipinda, mahasiswa/i bebas untuk memperjuangkan idealisme mereka masing-masing. Kini, AUKU telah membantutkan pemikiran yang kreatif dan inivatif untuk terus berkembang. Segala kegiatan mahasiswa/i perlu ditapis oleh pihak universiti sebelum dijalankan. Andaikata mahasiswa/i menjalankan perkara yang memainkan sentimen yang tidak memihak kepada universiti dan kerajaan, belum sempat bermula pasti dihalang terlebih dahulu.

Kini, gerakan mahasiswa kelihatan lemah tidak bermaya serta sudah hilang taring yang pernaah menggegar Malaysia suatu masa dahulu. Terus, yang menjadi tanda tanya adalah, mengapa mahasiswa lesu? Adakah AUKU penyumbang utama kepada permasalahan ini atau ada permasalahn lain yang berbangkit? Namun, kita sebagai mahasiswa yang berintelektual perlulah sentiasa menganalisis, mengapakah isu mahasiswa lesu tidak pernah lekang disebut sejak tahun 1970an hinggalah sekarang? Mungkin juga berpunca daripada diri kita sendiri. Kita selaku mahasiswa sentiasa sibuk dengan kuliah, tugasan dan ulangkaji, namun kita terlupa seketika, bukan input itu saja yang kita cari di universiti. Seorang mahasiswa/i sewajarnya aktif bermasyarakat sama ada masyarakat dalam kampus, mahupun masyarakat umum. Mentaliti mahasiswa/i, "universiti hanya sebagai gedung ilmu, bukan wadah bermasyarakat" perlu diubah. Jangan jadikan tugasan dan peperiksaan sekatan kepada mahasiswa/i kini untuk memberi komitmen dengan perkara-perkara lain. Jika hal ini berlaku, maka hilanglah gerakan mahasiswa/i yang lantang menjadi wadah kepada suara rakyat.

Adakah kita ingin terus berada dalam situasi tersebut selama-lamanya dan melihat generasi seterusnya terus lesu? Jika kita berkata "tidak", maka sudah menjadi tanggungjawab kita untuk mengubah hari ini, menjadi lebih baik untuk keberjayaan pada masa akan datang. Kita mesti berani melakukan pembaharuan untuk menegakkan kepentingan mahasiswa/i di universiti terutama UMSKAL. mahasiswa/i perlu mula dan bijak merancang strategi bermula hari ini. Seperti kata pepatah Inggeris, "if we fail to plan, we are plan to fail".

Nurul Aida Abdul Aziz, UMSKAL

Baca seterusnya...

Pelajar Bumiputera Bila Ibu atau Ayah Bumiputera - Khalid

7 Nov. - Kementerian Pengajian Tinggi akan mengiktiraf seseorang pelajar itu bumiputera walaupun hanya salah seorang daripada ibu bapa mereka dikategorikan sebagai bumiputera.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya akan melaksanakan peraturan baru itu pada bila-bila masa kerana Kabinet telah bersetuju dengan langkah tersebut.

Sebelum ini katanya, Perkara 161A(6)(b) berkenaan Sarawak dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa seseorang itu hanya dianggap seorang bumiputera jika ibu dan bapanya adalah seorang pribumi Sarawak.

''Kita bersetuju jika salah seorang daripada ahli keluarga mereka iaitu ibu atau bapa pelajar berkenaan adalah bumiputera, maka dia juga layak diberi tempat di matrikulasi atau institusi pengajian tinggi (IPTA) yang dikhaskan untuk bumiputera.

''Pelajar tersebut akan diterima sebagai bumiputera walaupun namanya tidak menggambarkan nama seorang bumiputera," katanya pada sidang akhbar Majlis Graduasi Persatuan Akauntan Berkanun Bertauliah (ACCA) 2009 Kali Ke-36 di sini hari ini.

Hadir sama Jawatankuasa Penasihat ACCA Malaysia, Datuk Mohd. Nasir Ahmad.Beliau mengulas kes seorang pelajar perempuan, Marina Unau yang tidak layak menyambung pelajaran ke program matrikulasi atau IPTA pada tahun ini gara-gara dikelaskan sebagai bukan bumiputera.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simanggang yang memperoleh keputusan 9A 1B pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu itu merupakan anak kedua Unau, hasil perkongsian hidupnya bersama isteri berketurunan Cina iaitu Wong Pick Sing.

Unau mendakwa, maklum balas yang diterimanya daripada Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri menunjukkan terdapat perbezaan status kedudukan bumiputera Sabah dan Semenanjung Malaysia jika dibandingkan kedudukan bumiputera Sarawak.

Maklum balas itu antara lain menyebut, bagi Semenanjung Malaysia jika salah seorang ibu atau bapa calon adalah seorang Melayu yang beragama Islam/Orang Asli seperti yang ditakrifkan di bawah Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan, maka anaknya dianggap seorang bumiputera.

Sebaliknya bagi Sabah, seseorang calon dianggap seorang bumiputera jika bapa calon adalah seorang Melayu beragama Islam/pribumi Sabah seperti yang ditakrifkan dalam Perkara 161A (6)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Utusan Malaysia, 8 November 2009

Baca seterusnya...

Mahasiswa Intelek: Cemerlang atau Kebelakang

Sewaktu di alam persekolahan lagi, keinginan dan harapan kita membuak-buak menjejakkan kaki ke “menara gading”. Pelbagai usaha yang telah dilakukan dalam menggapai impian bergelar MAHASISWA. Namun, setelah kita mencapainya, mampukah kita merealisasikan misi seterusnya iaitu memenuhi makna yang terkandung pada kata MAHASISWA itu? Atau hanya sekadar menjadikannya alat mendapatkan pekerjaan semata-mata. Konsep mahasiswa dan intelektual adalah seiringan. MAHASISWA menggambarkan seseorang yang mempunyai cara pemikiran yang matang, pergaulan yang luas, berfikir di luar kotak iaitu kritis dan berwawasan jauh”.

Terpegun apabila mengambarkan ciri-ciri mahasiswa yang sebenar. Persoalannya pula, adakah benar mahasiswa kita zaman sekarang mahasiswa yang intelek? Sekiranya jawapan anda YA, bagaimana pula mahasiswa tersebut dapat mempertahankan haknya sebagai seseorang mahasiswa yang berfikiran kritis dan kreatif itu? Jawapannya hanya diri mahasiswa itu sendiri yang mampu menjawab. Adakah kita merasa puas dengan hanya bergelar MAHASISWA? Gelaran “mahasiswa” yang amat dirasakan terpelajar, terkemuka menyebabkan kita lupa makna sebenar mahasiswa.

Kita sepatutnya menobatkan dalam diri “Akulah mahasiswa intelek!” Yakni mempelajari ilmu yang dirasakan lebih dari semua orang. Begitu juga dengan mahasiswa yang ingin bergelar “kaum intelek”. Sudah pasti keintelektualan ini sebenarnya lahir sejak dari bangku sekolah lagi. Peribahasa “melentur buluh biarlah dari rebungnya” amat sesuai kita gunakan untuk situasi ini.

Wahai rakan siswa/siswi semua, sedarkah kita bahawa perkataan “intelek” itu menggambarkan betapa hebatnya pemikiran mahasiswa hingga dapat merasakan mampu mendominasi kepemimpinan sesebuah negara! Apabila satu soalan ditujukan kepadanya, dia mampu mengolah dengan mantap, baik dan padat, seperti sudah direncanakan jawapannya. Gah bunyinya mahasiswa yang berintelek itu. Fakta boleh dijadikan bahan penceritaan dan penceritaan boleh diubah menjadi satu dokumentasi. Menurut Sharif Shaary, seorang dramatis Malaysia yang terkenal:

"Belajar di universiti bukan jaminan seseorang boleh menjadi intelektual... Seorang intelektual itu adalah seorang pemikir yang sentiasa berfikir dan mengembangkan [serta] menyumbangkan ideanya untuk kesejahteraan masyarakat. Dia juga adalah seorang yang mempergunakan ilmu dan ketajaman fikirannya untuk mengkaji, menganalisis, merumuskan segala perkara dalam kehidupan manusia, terutama masyarakat di mana dia hadir khususnya dan di peringkat global amnya untuk mencari kebenaran dan menegakkan kebenaran itu. Lebih daripada itu, seorang intelektual juga adalah seorang yang kenal akan kebenaran dan berani pula memperjuangkan kebenaran itu, meski bagaimanapun tekanan dan ancaman yang dihadapinya, terutama sekali kebenaran, kemajuan, dan kebebasan untuk rakyat."

Tegas beliau lagi intelektual bukan hanya sekadar berfikir tentang kebenaran tetapi harus menyuarakannya, walau apa pun rintangannya. Seorang intelektual yang benar tidak boleh memilih untuk berkecuali, dan harus memihak kepada kebenaran dan keadilan . Dia tidak boleh menjadi “lembu bisu”, kecuali dia betul-betul bisu atau dibisukan.

Sayang seribu kali sayang, jika mahasiswa sendiri tidak menyedari hakikat ini. Terlalu banyak kesannya andai kata kita lupa menjadi seorang mahasiswa yang berintelek. Kita akan mudah diperkotak-katikkan oleh orang lain dan kita akan menjadi seperti lembu di tusuk hidung, hanya menuruti kemahuan orang lain.

Kesedaran intelek dalam diri mampu membina diri kita menjadi seorang pemimpin yang berwibawa, lebih bertanggungjawab dan berfikiran matang dalam menyelesaikan masalah. Pelbagai pandangan dan idea yang bernas digunakan untuk mencapai setiap misi dan visi dalam dirinya. Mahasiswa yang intelek juga akan lebih kehadapan berbanding mahasiswa yang lesu dan tidak mahu ada perubahan dalam hidup mereka. Bolehkah kita menyalahkan system pendidikan universiti, seperti kata Prof. Emeretius Khoo Kay Kim.

“...Salah satu faktor yang membunuh aktivitisme dan budaya berfikir mahasiswa adalah sistem pendidikan di Universiti sendiri”.

Bagaimana pula dengan pendapat anda, adakah pihak lain perlu dipersalahkan apabila mahasiswa kita bukan mahasiswa intelek? Tepuk dada tanya hati.

“Bangunlah mahasiswa!” Semua ini terletak pada tangan kita. Sama ada untuk menjadi mahasiswa yang menuju ke hadapan atau menjadi mahasiswa yang terus ke belakang dan terkebelakang sehingga akhirnya lenyap ditelan kealphaan diri sendiri. Sepertimana sebelum menjejakkan kaki ke menara gading, pendefinisian ilmu masih di takuk yang lama. Andaikata kita tidak mampu mengubah dunia cukuplah sekadar mengubah diri kita. Marilah kita merealisasikan impian kita menjadi mahasiswa, insan yang intelektual; kita buang status lesu dan bisu dalam jiwa kita. Ayuh! Bangkitlah mahasiswa, jangan tidur lagi!!!

Paezah binti Andilala, UMSKAL

Baca seterusnya...

Nasional: Mahasiswa KUIS Desak Turun Yuran

kuis 1

Bangi 07 Nov - Seramai 2500 mahasiswa Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor mengadakan demonstrasi aman semalam mendesak pihak pentadbiran menurunkan yuran pengajian kolej universiti tersebut.

kuis 1 kuis 1

Demonstrasi tersebut berarak bermula dari perkarangan First Kafe sambil mengibarkan sepanduk dan poster antaranya tertera “sampai bila mahasiswa makan maggi”, “Yuran naik, mahasiswa kelaparan” dan “mahasiswa tuntut yuran turun” berakhir di Taman Ilmu bagi mengadakn perhimpunan di situ.

Kumpulan Mahasiswa berkenaan yang menubuhkan Gabungan Mahasiswa Sedar (GMS) mendakwa yuran di kolej tersebut terlalu mahal dan tidak setimpal dengan perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan.

Presiden GMS, Ahmad Syafiq Akmal bin Ahmad Kamil ketika diminta mengulas mengenai demonstrasi tersebut, mengatakan ianya sebagai hari kemuncak kepada usaha untuk mendesak pihak pentadbiran menurunkan yuran kolej universiti tersebut.

“Sejak bulan lalu, kita telah mengadakan beberapa pertemuan dan perbincangan sama ada pihak pentadbiran atau pun pelajar. Saya rasa sudah empat atau lima kali kita buat (perbincangan) bagi menyelesaikan masalah ini.”

Walau bagaimanapun katanya, pertemuan dengan pihak pentadbiran sebelum ini seolah-olah tidak didengar dan dipandang serius oleh pihak pentadbiran. Bahkan lebih mencurigakan lagi, Timbalan Rektor kolej tersebut menyatakan bahawa beliau tidak mengetahui langsung berkenaan maklumat kenaikan yuran.

“Selain itu, wakil GMS yang pergi berbincang juga turut dipertikaikan dan dinafikan atas alasan tidak mempercayai suara mahasiswa walaupun sebelum ini kita telah mengumpul responden dari mahasiswa sendiri.”

“Jadi hari ini kita ingin buktikan bahawa ini (desakan) memang dari mahasiswa dan kita amat serius berkenaan hal ini,” ulasnya selepas selesai demonsterasi semalam.

Demonstrasi tersebut berakhir dengan penyerahan daripada Presiden GMS kepada setiausaha Rektor En.Azmi.

kuis 1

GMS yang terdiri daripada beberapa pimpinan pelajar mula bertindak serius pada 27 Oktober 2009 apabila melakukan pertemuan dan edaran secara langsung kepada mahasiswa khususnya yang tinggal di asrama. Hasil kutipan borang kaji selidik tersebut pihak GMS berjaya mengumpul sebanyak 1,882 respondan yang kebanyakannya tidak berpuas hati terhadap yuran yang dikenakan.

Mahasiswakini

Baca seterusnya...

PTPTN Dijangka Tanggung Defisit RM48 Bilion Menjelang 2020

3 Nov - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dijangka menghadapi defisit RM48 bilion menjelang tahun 2020, jika peminjam yang ada sekarang tidak membayar balik pinjaman mereka.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Hou Kok Chung berkata jumlah yang sepatutnya dibayar balik kepada PTPTN pada masa kini ialah RM3.26 bilion, melibatkan hampir 780 ribu pinjaman yang telah diluluskan.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM346 juta telah diberikan penangguhan bayaran balik, manakala sejumlah RM1.54 bilion belum dibayar balik," katanya di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang) yang mahu kerajaan menyatakan jumlah sebenar hutang PTPTN yang tertunggak dan rancangan kerajaan untuk membantu siswazah yang tidak menerima pinjaman bagi meneruskan pengajian di pusat-pusat pengajian tinggi dalam dan luar negara.

Menjawab soalan tambahan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai), Hou mengakui bahawa PTPTN mempunyai masalah kewangan kerana perlu menampung banyak pinjaman.

"PTPTN akan terus bekerja kuat dan melakukan pelbagai cara yang perlu untuk mendapatkan wang yang cukup bagi menampung pinjaman pelajar. Sebab itu kita selalu ingatkan peminjam supaya segera menyelesaikan pinjaman mereka," katanya.

Nurul Izzah bertanyakan perkembangan perjanjian PTPTN dengan sebuah syarikat swasta untuk membiayai bantuan kewangan sejumlah RM1.5 bilion kepada badan tersebut.

Hou berkata PTPTN juga tidak bercadang untuk hapus kira hutang sejumlah RM3.26 bilion tersebut, kerana badan itu juga perlu mengambil kira peluang meneruskan pelajaran bagi penuntut akan datang.

"PTPTN bukan satu badan untuk beri biasiswa, banyak biasiswa yang telah ditaja kerajaan sendiri, di samping kerajaan juga galakan pihak swasta dan GLC untuk beri biasiswa kepada pelajar," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas).

Ibrahim bertanyakan sama ada PTPTN bercadang untuk hapus kira hutang sejumlah RM3.26 bilion itu bagi kebaikan rakyat.

Sebaliknya beliau menyifatkan PTPTN sebenarnya lebih flesible di mana peminjam diberi tempoh mencukupi selama enam bulan sebelum diberi surat arahan bayar balik, manakala bagi penuntut yang dapat kelas satu, pinjaman akan ditukar kepada biasiswa.

BERNAMA

Baca seterusnya...
 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top